Menduakan Cinta-Nya
“Salahkah bercinta?”
“Allah yang hadirkan cinta secara fitrah, tak kan tak boleh layan?”
“Kalau tak bercinta, macam mana nak kenal bakal pasangan?”
Kasihan remaja kita. Banyak persoalan di minda belum terjawab.
Siapa yang akan menjawabnya? Pengalaman orang-orang dewasa di sekeliling mereka yang akan menjawabnya? Mungkinkah logik minda mereka sendiri akan menjawab semuanya? Mungkinkah penangan media massa yang akan mengilhamkan jawapan untuk mereka?
Beruntunglah remaja yang mencari jawapan yang benar daripada sumber yang ma’sum (terpelihara) iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Bukan mencari fatwa di dalam majalah-majalah hiburan, kisah cinta picisan, drama lakonan dan perbincangan kosong di alam maya.
Beruntunglah remaja yang mendapat didikan yang benar daripada al-Quran dan al-Sunnah. Bukan membiarkan diri dididik dan tunduk kepada kepuasan rakan sebaya, orang sekeliling dan realiti yang bercanggah dengan kebenaran.
Al-Quran dan al-Sunnah, dua sumber itu yang akan menyelamatkan kita daripada terhumban ke dalam kesesatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku meninggalkan kamu dua perkara, tak kan sesat siapa yang berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Malik).
Ujian cinta itu berat. Jika ujian cinta itu menjalar dalam segenap hidup manusia sepanjang zaman, tak kan dua sumber yang agung ini tidak memberi panduan tentangnya? Panduan untuk menguruskannya bukan untuk membunuhnya. Masakan Islam agama yang fitrah mahu membunuh fitrah? Islam memandu kita untuk menyalurkannya secara mulia, terhormat dan bermaruah. Bersama redha Allah.
Remajaku sayang,
Belek-beleklah panduan Al-Quran dan Al-Sunnah. Alam remajamu akan menjadi lebih indah terarah. Naluri ingin mencintai dan dicintaimu itu akan terpesona dengan naluri ingin memiliki cinta agung. Kuasa cinta agung ini akan lebih membina kegagahan dalam setiap derap langkahmu menuju ke masa depan. Kegagahan tercipta kerana dirimu merasa dinaungi cinta yang Maha Gagah. Itulah kehebatan cinta Allah.
Di mana harus dicari panduan-panduan yang praktikal? Agar cinta sesama manusia akan dapat memancing cinta Allah sekaligus. Insyallah, di sini, di Solusi salah satu jalannya. Selain mengutip panduan daripada bahan-bahan bacaan yang berfaedah, kau akan ketemuinya di bibir guru-guru yang beramal, orang-orang soleh, di majlis-majlis ilmu, forum-forum, ceramah-ceramah, masjid-masjid, blog-blog yang dipercayai, laman web para ulama dan sebagainya. Ini adalah jalan-jalan untuk kita lebih memahami Al-Quran dan Al-Sunnah. Banyak dan mudah, bukan? Jika hendak seribu daya. Jika tak hendak, doa-doalah biar hati jadi lunak. Tunduk dan menyerah kepada apa yang Allah kehendaki.
Syirik Cinta
Selalu kita diingatkan agar tidak syirik. Ada apa dengan syirik? Syirik itu menduakan Allah. Menyembah selain Allah. Ia dinobatkan sebagai raja segala dosa besar. Dosa yang tak mampu diberi ganti rugi untuk membeli keampunan Allah.
Mengambil sesuatu yang selain daripada Allah SWT sebagai sumber kecintaan paling utama dalam hidup bererti menggantikan tempat Allah SWT dengan selain-Nya. Allah SWT mendedahkan kepada kita di dalam Al-Quran,
“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal). (Surah Al-Baqarah: ayat 165).
Para ulama’ ketika membincangkan ayat ini menyebut tentang kesyirikan dalam cinta atau ia digelar sebagai syirkul mahabbah. Manusia menduakan cinta kepada Allah dengan makhluk seangkatan dengannya.
Bagaimana dengan cinta kita kepada makhluk saat ini? Adakah ia sedang menjadi alat untuk kita lebih dekat kepada Allah? Atau adakah ia sedang menjadi matlamat yang kita damba-dambakan sehinggakan melupakan Allah? Semakin besar cintamu kepada Allah, semakin kecil nilai makhluk di hatimu, apatah lagi untuk menjadikannya tandingan kepada Allah untuk diangau-angaukan.
Ketika cinta berkuasa, diri menjadi bingung. Gundah-gulana. Resah melanda. Banyak urusan tergendala. Apa yang dibuat serba tak kena. Merebak rasa malas. Membarah rasa segan jika orang tahu tindakan yang pernah dilakukan. Maksiat demi maksiat mula meratah iman dan kesedaran. Menyimbah nur dengan kegelapan. Hati menjuih tatkala mendengar kebenaran.
Aduhai hati, takutlah pada syirik cinta! Jangan tipiskan sensitivitimu wahai hati kerana aku tak sanggup memiliki hati yang mati.
Menterjemahkan Cinta dengan Jalan-jalan “Taqrabu az-zina”?
Ya, bukan Allah tak tahu hatimu cenderung pada si dia. Bukan Allah tak memahami kau selalu merinduinya. Bukan Allah tak mengerti bayangannya sering singgah di mindamu. Semua itu fitrah. Setiap fitrah ada peraturannya. Kenapa? Supaya fitrahmu itu akan tersalur secara mulia dan diredhai-Nya.
Bagaimana menghadapi ujian ini? Agar fitrah tak menjadi fitnah. Agar fitrah mendapat barakah. Bagaimanakah caranya?
Kenal pasti dahulu tahap kesediaanmu wahai remaja.
Dirimu sedang sibuk bergelumang dengan pelajaran kan?
Dirimu belum bersedia untuk berumag tangga kan?
Dirimu sedang mempersiapkan diri kan?
Dirimu sedang mengutamakan prioriti yang lebih urgensi kan?
Kalau dirimu dalam situasi ini, jadikan ujian cinta ini sebagai lubuk pahala apabila kau perisaikannya dengan mujahadah. Apabila ‘angau’ bertandang, cepat-cepatlah beristighfar kepada Allah. Kita beristighfar bukan kerana rindu itu suatu dosa sebaliknya kerana bimbang zina hati akan menjalar. Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina diri.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
“Setiap bani Adam memiliki peluang untuk berzina,kedua mata itu berzina dan zinanya adalah melihat,kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan, mulut juga berzina dan zinanya adalah mencium dan hati itu berzina dan zinanya adalah hawa nafsu dan angan-angan. Tetapi kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari perzinaan tersebut. (Hadis riwayat Ahmad).
Gentarlah pada firman-Nya,
“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: ayat 32)
Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah SWT: “Janganlah kamu mendekati zina”, maknanya lebih dalam daripada perkataan : “Janganlah kamu berzina” yang ertinya : Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina. (Tafsir Al-Qurthubiy, Juz 10 hal. 253) Yakni : Janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan membawa kepada zina apalagi sampai berzina. (Tafsir Ruhul Ma’aaniy Juz 15 hal. 67-68 Al-Imam Al-Aluwsiy Al-Baghdadi. Tafsir Bahrul Muhith Juz 6 hal. 33.)
Setelah Islam memberikan panduan, wajarkah menyalurkan fitrah cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina?
Sms bertali arus tanpa keperluan.
Call siang malam tanpa urusan.
Chatting kosong tanpa isi.
Dating bertemankan syaitan.
Pandang-pandang tanpa pagaran.
Khalwat di tempat-tempat sunyi.
Berbual-bual, bincang-bincang, tanya-tanya khabar tanpa sempadan.
Menghalalkan ikhtilat (pergaulan bebas) dengan istilah adik angkat, abang angkat.
Dan banyak lagi.
Inikah bukti cintamu?
Adakah kau ingin membina sebuah mahligai perkahwinan dengan sebuah kenangan cinta yang menghampiri zina? Berkatkah nanti syurga dunia idamanmu? Mampukah ia membawa kepada syurga abadi?
~ dipetik daripada blog akak Fatimah Syarha~
No comments:
Post a Comment