Thursday, August 11, 2011

~ MeNeMuKaN DeNgaN OraNg YaNg SaLah~


~ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat menjadi penilai yg baik.

~ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yg sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH.

~ ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK, KHAS UNTUK DIRI KITA.

~ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH & MAHA PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yg hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan...

~ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yg tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.

~ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita jadi MANUSIA YG HEBAT JIWANYA.

~ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita lebih faham bahawa CINTA YG TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH.

~ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YG TAK SELAMANYA KEKAL. ~Wahai sahabat yg kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya. Hari esokpun kita sendiri tak pasti samada menjadi milik kita. Gapailah keredhaan ALLAH dengan melaksanakan suruhan-NYA, dan meninggalkan larangan-NYA..

~PERCAYALAH sesungguhnya ALLAH tidak akan menolak permintaan hamba-NYA yg menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepada-NYA.

Wednesday, August 10, 2011

~ SaBaR~


"SABAR" itu berkat...
"SABAR" itu indah...
"SABAR" itu mulia...
"SABAR" itu sejuk...
"SABAR" itu terpuji...
"SABAR" itu pemaaf...
"SABAR" itu arif & bijaksana....


"Maka Bersabarlah kamu dangan sabar yang Baik" (AL-MA'ARIJ : 5 )


Sabar itu berat tanpa IMAN...
Sabar itu rumit tanpa ILMU...
Sabar itu resah tanpa tafakur...
Kita tidak akan tahu makna kehidupan tanpa "SABAR" ,
"SABAR" tidak ada tanpa IMAN & IMAN tidak ada tanpa "ILMU"...


"Jadikanlah SABAR dan SOLAT mu, sebagai penolongmu, Dan sesungguhnya hal itu amat Berat kecuali bagi Orang-orang yang khusyuk'" ( AL-BAQARAH : 45 )





Kerana "SABAR" kita bisa mencapai kebahagiaan...
Kerana "SABAR" kita meraih kejayaan...
Kerana "SABAR" kita mendapat hidayah...
Kerana "SABAR" kita disayangi...
Kerana "SABAR" kita dicintai oleh ALLAH & RASUL-NYA...
 

~ SeLaMaT HaRi LaHiR~


Ya Allah..
pada detik kelahiran sahabat ku ini,
dia suci daripada memungkiri perintahmu,
maka pada hari ini ampunkanlah dosanya sesuci kelahirannya...

Ya Allah..
sewaktu dia mula melihat dunia,
dia telah diazankan & diiqomahkan dengan seruan agamu Mu,
maka janganlah engkau biarkan dia walau sekadar sekelip mata atau kurang daripada itu..

Ya Allah..
dia amat lemah dengan ujian Mu,
tetapkanlah hatinya pada agamaMu..
& sentiasa mentaati perintahMu serta didiklah dia dengan al-quran
& sunnah rasulMu..

Ya Allah..
aku sayang kepadanya,
jadikanlah dia dikalangan tenteraMu..
& jauhkan dia dari melakukan maksiat..
serta terimalah ibadahnya agar dia tidak mencium azabMu..

Ya Allah..
berkatilah usianya agar dia sentiasa berada dalam rahmat Mu,
sekiranya rezeki yang diberikan kepadanya melebihi keperluannya..
Engkau campakkanlah rasa kesyukuran dihatinya,
agar dia tidak lupa kepada makhlukMu yang lain..

Ya Allah...
terimalah doa hambaMu yang kerdil ini..amin



Tuesday, August 9, 2011

~ MaDraSaH RaMadHan~

Ramadhan merupakan  madrasah agung yang banyak untuk kita pelajari daripadanya. Cara terbaik untuk mengenali tetamu yang mulia ini ialah dengan melihat bagaimana Rasulullah saw menyambut bulan ini.
Bagaimana baginda bersedia untuknya? Sejak bulan Rajab lagi baginda sudah berdoa "Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Sya'ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan". Inilah persedian jiwa dan kerinduan muslimin yang inginkan segala kebaikan yang terkandung dalam bulan ini.
Ramadhan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik. Pakar psikologi menyatakan bahawa:  jika manusia ingin mengubah sikapnya, hendaklah dia berterusan membiasakan dirinya dengan sikap yang baru selama 21 hari, inilah Ramadhan yang datang untuk membiasakan kita dengan sikap positif selama 30 hari! Semoga Ramadhan mampu membiasakan kita dengan sifat-sifat berikut:
1. Ikhlas: Puasa merupakan satu-satunya ibadah yang menjadi rahsia antara hamba dan TuhanNya. Ibadah yang khusus untuk Allah swt. Ibadah lain seperti sujud dan korban boleh dibuat selain kerana Allah tetapi kita tidak dapati seseorang puasa kecuali kerana Allah swt.
2. Sabar: Seorang muslim berlatih untuk bersabar dan memikul bebanan. Pada bulan-bulan lain mungkin kita selalu marah dan bersikap kurang sabar, tetapi dalam bulan Ramadhan kita akan bersabar sehingga waktu berbuka puasa.
3. Penyantun: Sekiranya seseoarang dicaci atau diejek, dia terus berkata: "Ya Allah aku sedang berpuasa", maka ini melatih kita untuk menahan marah.
4. Disiplin dan ketepatan masa: Waktu adalah kehidupan, seperti yang dinyatakan Hassan al-Banna. Pada bulan-bulan lain kita jarang sekali melihat kepada jam waktu, tetapi dalam Ramadhan kita sentiasa meneliti waktu seperti sahur, berbuka puasa dan waktu azan.
5. Kesatuan ummah: Bilangan muslimin seluruh dunia mencapai 1 billion. Bayangkan jumlah yang sebegitu ramai bersama-sama berpuasa dan berkumpul untuk beribadah.


وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَDan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
(Surah Al-A'raf 7: Ayat 96)



~ InSYaAllah vErsi MeLaYu~

Setiap kali diriku merasa seperti tidak mampu meneruskan hidup lagi...
Terasa sangat kehilangan entah apa...
Menyatakan bahwa diri ku begitu sendirian
Semua ku lihat kelam-malam
Dan kegelapan menyelubungi di seluruh jiwa ku
Adakala nya diriku merasa begitu tak berdaya
Hilang daya ku melihat jalan mana yang harus ku pilih
Namun ku cekal kan hati ku..
Jangan ada rasa putus asa
Walaupun aku menapak kecil..
Namun tidak pernah aku kehilangan harapan
Kerna ku yakin Allah selalu di sampingkuInsya Allah akan dapat ku mencari jalan cahaya..
Setiap kali diri ku melakukan satu kesalahan lagi
Terasa bagaikan pintu taubat tertutup bagi ku
Dan bahawa telah lambat untuk ku mencari jalan taubat
Adakala nya diriku menjadi bingung
Keputusan yang salah yang ku pilih
Keputusan sebegini menghantui fikiran
Dan hati ku penuh dengan rasa malu
Namun ku cekal kan hati ku..
Jangan ada rasa putus asa
Walaupun aku menapak kecil.. Namun tidak pernah aku kehilangan harapan
Kerna ku yakin Allah selalu di sampingku


~ OaSiS RaMadHaN~

Ku menanti oasis yang menyejukan jiwa,
Kerna ku yakinia bisa menghilangkan dahaga,
Oasis yang dingin bak salju menerpa,
Bakal menghilangkan kehausan setiap insan yang ketandusan.
Ya Ramadhan Al-mubarak, Qamarullah!,
Di saat kehidupan yang ku rasa semakin meletihkan,
Kau hadir menyiram tubuhku yang kealpaan,
Kering, tandus, kemarau jiwaku lantas bertukar menjadi tasik biru..
Oasisnya Ramadhan membawa kenikmatan dan keasyikan,
Ku teguk rakus setiap titisan dengan penuh kelazatan,
Suasana kebahagiaan seperti ini, akankah ku jumpa di lain waktu?
Hatiku bertukar menjadi syahdu..
Tiada yang kekal melainkan Allah,
Oasis yang hadir kian ketandusan,
Berakhirnya Oasis Ramadhan memberiku seribu pengajaran,
Ya Allah, ku pohon kurniakanlah oasis Ramadhan ini kepadaku di masa hadapan.
Wahai saudara seagamaku,
Imam Hassan al-Banna, pernah berkata: " Ramadhan adalah bulan Siyam dan bulan Qiyam."
Bulan yang dipenuhi dengan ibadah di siang dan di malam hari. Setiap detik, saat, ketika dan masa yang ada dilalui dengan ibadah hati, fizikal dan emosi yang menyeluruh. Inilah 'mind setting' yang harus kita tanam dan gerakkan nanti.
Sekadar perkongsian buatku untuk semua umat Islam didunia Allah. Marilah sama-sama kita sibukan diri untuk melorongkan jiwa, hati, nurani, minda dan segala-galanya yang ada pada diri kita untuk menuju ke Oasis Ramadhan ini.Inginku kongsikan beberapa nasihat yang disampaikan oleh Ketua Eksekutifku, Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman ketika sesi tazkirah baru-baru ini. Beliau telah menasihatkan agar di bulan Ramadhan yang mulia ini kita:
•Memperbanyakan taubat dan istighfar kepada Allah S.W.T. Memasuki bulan Ramadhan ini dengan jiwa dan hati yang bersih, putih dan jernih.
• Berbaiki hubungan dengan orang lain dan lupakan segala sengketa. Jadikan ia sebagai medan bermaaf maafan.
• Meminta keampunan dan kemaafan daripada kedua orang tua . Banyakan istighfar dan sedekahkan doa untuk mereka.
• Belajar dan fahamkan Fiqh Saum ( Puasa). Telaah kitab, lihat dan rujuk buku-buku karangan ulamak muktabar.
•Memperbanyakan amalan soleh. Gempurkan diri dengan ibadah-ibadah sunnat tanpa mengabaikan ibadah yang fardhu.
•Menanam azam untuk menghidupkan semua amalan soleh di dalam Bulan Ramadhan.
•Membaca Al-Quran. Letakan target secara ansur maju untuk mengkhatam Al-Quran.
•Memelihara solat berjemaah terutamanya di masjid.
•Perhebatkan amalan-amalan sunnat dalam kehidupan.
•Merancang untuk melaksanakan iktikaf di masjid pada 10 akhir Ramadhan.
•Menjauhi amalan-amalan kefasadan dan kemungkaran terutama yang melibatkan anggota pancaindera kita.
•Perlu memelihara dan menjaga hati kita daripada dosa-dosa, maksiat-maksiat dan noda-noda.
Inilah peta laluan yang perlu kita ikuti ketika kita meneguk oasis Ramadhan nanti. Alangkah bahagianya bagi sesiapa yang benar-benar bersedia untuk menjejaki Ramadhan ini. Binalah kekuatan kita dengan sebenar-benar kekuatan.
Sebelum mengakhiri sesi tazkirah, Dr Abdullah memberikan suatu penjelasan yang sangat mudah untuk melihat kayu ukur kekuatan dan kehebatan diri kita.
" Kekuatan diri kita diukur bukan kepada banyaknya amalan yang kita buat tetapi ia dinilai sejauh mana kita berusaha meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat di dalam kehidupan kita."
Semoga kita penantian kita akan menjadi kenyataan. Semoga oasis Ramadhan kita manfaatkan dan bisa menyuburkan hati yang ketandusan. Insya-Allah.


~ TiADa BiL Dari Allah,MakA bErsYuKurLah~

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai.
Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan, dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.
Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Setiap bulan pelbagai jenis bil akan menghiasi ruang hidup kita. Bil air, elektrik, insurans, kereta, cukai dan sebagainya. Kenapa perlu membayar bil?.
Kerana kita telah mengunakan sumber atau perkhidmatan daripada pihak tertentu. Setiap perkhidmatan yang kita gunakan sudah tentu perlu dibayar.
Pembekal dan pengguna. Kitarannya adalah sama setiap masa.
Namun, sedarkah kita bahawa ada suatu perkhidmatan yang kita guna tanpa sebarang bayaran dari pembekalnya?. Perkhidmatan itu ialah nikmat daripada Allah s.w.t. Segala macam nikmat yang diberikan Allah kepada kita, tanpa kita mengeluarkan satu sen pun.
Semuanya percuma. Ya, segala nikmat itu percuma maka sebab itulah kita semua jarang sekali bersyukur.
Cuba kita mengambil jalan untuk menghitung nikmat Allah. Pasti suatu yang mustahil kerana nikmat Allah itu sungguh luas dan tidak terkira banyaknya.
Firman Allah s.w.t :
"Dan sekiranya engkau menghitung nikmat-nikmat Allah, (pasti) ia tidak akan terhitung" (Ibrahim:34)
Ini adalah antara nikmat Allah s.w.t kepada kita tanpa bayaran. Mari berfikir bersama-sama.
Nikmat Tubuh Badan
 1. Mata
2. Telinga
3. Hidung
4. Tangan
5. Otak
6. Perut
7. Kaki dan anggota lain.
8. Bernafas
9. Melihat
10. Mendengar
11. Merasa
12. Bau
Nikmat Pada Alam Untuk Manusia
1. Haiwan dan tumbuhan untuk makanan
2. Oksigen untuk pernafasan
3. Matahari untuk sumber cahaya
4. Air sebagai minuman
5. Tanah sebagai kediaman dan nikmat yang lainnya.
Jadi cuba kita renungkan sebentar, antara nikmat yang disenaraikan di atas, yang mana satu kita keluarkan bayaran kepada Allah s.w.t.?
Tiada suatu pun yang kita bayar. Semuanya diberikan Allah untuk kita secara percuma namun mengapa sedikit sekali kita bersyukur.
Firman Allah s.w.t :
"Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur" (As-Sajdah:9)
Andai Allah s.w.t mengenakan bayaran di atas setiap nikmat yang diberikan pasti tiada siapa mampu membayarnya, hatta jutawan terkaya didunia sekalipun. Sifirnya mudah sahaja, andaikan setiap nafas yang disedut dikenakan bayaran RM1.00 atau mungkin lebih rendah, RM0.10.
Dalam satu jam berapa kali anda bernafas? Satu bulan? Satu tahun? Selama hayat? Kajian menunjukkan manusia bernafas 18-30 ribu kali sehari. Itu hanyalah pernafasan.
Andaikan nikmat yang lain juga dibayar dengan kadar yang sama sahaja, kita tidak akan mampu membayarnya.
Allah berfirman dalam surah Yassin :
"Dan mereka memperoleh berbagai manfaat dan minuman darinya. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?." (Yassin:73)
Bayangkan pula jika bil yang Allah keluarkan tidak mampu kita bayar, dan tertunggak seperti bil air atau elektrik. Suatu masa bil amaran akan dikeluarkan untuk pemotongan.
Jika Allah melakukan sedemikian rupa, iaitu dengan memotong atau memberhentikan pemberian nikmat yang kita tidak bayar, bukankah kita pasti dalam ketakutan yang tidak dapat digambarkan?.
Allah menggambarkan mereka yang tidak bersyukur adalah orang yang ingkar dan zalim dalam firmanNya:
"Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)" (Ibrahim:34)
Nikmat yang tidak dibayar ini menjadikan kita lupa dan lalai. Bersyukurlah wahai diriku dan sekalian saudaraku.
Sekurang-kurangnya lafazkan ucapan Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah) yang dinyatakan dalam Al-Quran hampir 21 kali.
Taatlah pada perintahNya dan tinggalkanlah apa yang dilarang. Itu adalah tanda syukur kita selain daripada ungkapan Alhamdulillah.
Moga redha Allah sentiasa bersama kita semua, hamba yang alpa lagi penuh noda


~ InDaHnYa CiNtA SeLePas PeRNikaHaN~

Setelah sekian lama hidup dibelenggu rasa cinta nafsu, hidup sebagai remaja yang tidak ada hala tuju matlamat kehidupan. Saya disedarkan oleh Allah S.W.T dengan hidayah dan limpahan kasih-Nya.
Syukur kehadrat Allah Taala yang selalu mencintai kita dan mengasihi kita. Indahnya juga hidup yang penuh dengan syariat dan landasan hukum dan garisan keimanan. Entah bagaimana lagaknya hidup ini jika terus dilimpahi nafsu yang tidak berkesudahan.
Lumrah kehidupan ingin berkasih sayang. Lumrah sebagai remaja ingin ada pendamping. Tanyalah kepada siapapun, remaja utamanya, apa erti cinta?
Bagi mereka, cinta itu indah. Cinta itu lazat. Pelbagai tafsiran tentang cinta jika ditanya kepada para remaja di luar sana. Begitu da'if pendapat mereka tentang cinta. Saya, salah seorang daripada pencinta yang suatu ketika dahulu hanya memikirkan tentang keseronokan, kesunyian, hiburan dan teman-teman. Tidak ada cinta bersandarkan agama dalam jiwa. Jauh sekali mengingati dengan Dia yang memberikan rasa cinta itu.
Bukan mudah menerima tamparan dalam hidup bagi remaja yang putus cinta. Rasa mahu bunuh diri, menjauhkan diri dari kelompok manusia lain, sehingga terfikir mahu membunuh seseorang!
Inilah penyakit nafsu dan derita hati. Hati dan nafsu tidak bersandarkan akal. Allah S.W.T telah memberikan kita akal, iaitu salah satu kelebihan yang tidak ada pada hidupan lain. Sebagai manusia, kita sepatutnya menggunakan akal 100% dalam kehidupan. Allah S.W.T berfirman :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal." [Surah Ali 'Imran 3 : 190]
Saya sudah bernikah dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali. Setelah putus cinta dengan lelaki yang dahulunya amat saya cintai (cinta yang tidak berlandaskan agama Allah). Saya membuat keputusan untuk bernikah kerana akal. Setelah berfikir dan menganalisis segala dosa dan kesalahan yang pernah saya lakukan, saya menunaikan umrah pada usia yang muda (25 tahun) dan pada waktu itu, tidak ada lain melainkan saya mencari reda Allah S.W.T dalam cinta yang terlalu saya inginkan. Setelah menunaikan solat hajat beberapa malam berturut-turut dan saya membaca Surah Yaasin beberapa malam berturut-turut (atas nasihat seorang ustaz di kampung halaman, imam masjid yang juga sahabat baik ayahanda tercinta).
Hakikatnya, segala yang kita inginkan dalam dunia ciptaan-Nya ini perlu kita mohon daripada-Nya. Tidak ada kuasa lain yang Maha Memberi kecuali Dia. Saya berdoa bersungguh-sungguh, memohon sebuah cinta yang suci dan tidak berlandaskan nafsu. Kuasa Allah Taala tidak siapa yang tahu.
Saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sedang menyambung pelajaran di Australia. Setelah tiga hari berbalas mesej, mesej yang hanya bertanya khabar dan bertanya tentang kerja-kerja dan pelajaran, timbul persoalan tentang perkahwinan. Jawab saya, hanya bonda dan ayahanda bisa menjawab tentang pernikahan. Lalu, dihantar kedua ibu dan bapanya merisik pada Jun 2010. Maka termetrailah ikatan janji pernikahan Disember 2010.
Sekelip mata, zat Yang Esa sangat saya kagumi. Tidak pernah terlintas dalam hati ingin bernikah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Dalam hati berniat, biarlah jalinan cinta terukir setelah ijab dan qabul diucap dan dibalas.
Tidak terkata betapa cerianya saya ketika hari berlangsungnya pernikahan. Tidak sedikitpun hati berdetak ragu dengan cinta dan kasih pemberian Allah Taala ini. Hakikatnya, cinta suci dan halal ini lebih indah untuk kita kecapi.
Saya sebagai insan yang lemah, pernah melakukan dosa dan diri masih dihinggapi noda silam. Saya ingin menyeru kepada semua remaja yang masih belum ada pasangan halal, ketahuilah, cinta sebelum bernikah, yang melanggar prinsip Allah S.W.T, merupakan jalan hidup yang sia-sia.
Tidak ada konsep cinta kekasih dalam Islam. Jika sahabat-sahabat sekalian seorang yang sangat beriman, dan dapat menjaga batas dalam pergaulan cinta lelaki dan perempuan, tahniah saya ucapkan! Jangan sekali-kali mendekati zina! Biarpun zina hati!
Jika tidak mampu mengikut sunnah dan ajaran Islam dalam memupuk cinta, berhentilah daripada menjalin cinta yang membawa dosa dan noda. Katahuilah, jodoh itu ada dalam tangan Allah S.W.T. Berdoalah, kerana doa itu senjata terakhir untuk mengubah takdir dan haluan hidup kecuali satu, iaitu mati.
Percayalah, cinta suci yang sepatutnya kita agungkan selain cinta Allah dan Rasul adalah cinta suami. Ia merupakan cinta agung buat semua wanita dan gadis. Tidak ada dosa, tidak ada haram dalam cinta itu selagi menjadi isteri yang solehah.
Sentuhlah tangannya, Pahala. Ciumlah pipinya, Pahala. Layani kehendaknya, Pahala. Ucapkan kata rindu dan kasih diiringi senyuman mesra, Pahala. Berlembut suara bermanja, Pahala!  Apa lagi yang ingin kita cari dalam dunia yang semakin uzur ini, wahai sahabatku, para solehah di luar sana? Bukankah pahala yang kita kejar? Bukankah Syurga matlamat kita?
Tidak ada lain melainkan menjadi isteri yang sangat bahagia, itu idaman setiap insan. Bagi teruna soleh, gadis impian yang bakal menjadi suri hidup mereka, menjadi bidadari dalam setiap hembusan nafas zikrullah, subhanallah!
Carilah cinta suci dan cinta agung. Jauhilah cinta nafsu, sesungguhnya cinta nafsu itu melahirkan penzina. Ketahuilah, balasan Allah sangat dahsyat bagi dosa penzina.
"Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan(harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah(pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni)akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina." (Surah al-Furqaan : 66-69).
Dan kini, saya bahagia bercinta kali pertama setelah menjadi isteri kepada suami yang sangat memahami. Cinta suci yang kami bina bermatlamatkan Syurga. Indahnya bercinta selepas pernikahan. Segala yang dilakukan menjadi halal bagi kami dan pahala buat bekalan di 'sana' nanti. Syukur, sujud dan doa telah Allah kabulkan. Kuasa Allah S.W.T tidak dapat dilawan. Bercintalah, bercintalah, bercintalah! Bercintalah kerana Allah!



~ Awak, KeNaPa KahWiN DeNgaN saYa??~

"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai".
Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa. Perasaanku bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Aku tidak pasti mengapa air mataku jatuh sedangkan aku sepatutnya gembira dengan pernikahan ini.
Abdul Rahman bin Abdullah, itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Dialah yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina. Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar, wajahnya seakan-akan bercahaya. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang. 
Dirinya memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Selepas sahaja dia melafazkan akad, dia terus lakukan sujud syukur. Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Sedangkan dia begitu baik, begitu alim, begitu sempurna..
Hingga detik ini aku masih belum mendapat jawapannya. Kenapa aku yang dipilihnya? Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, di luar sana, masih ada berjuta wanita yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik daripadaku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun masih tidak pecus lagi. Kerap kali pemakaian tudung ku masih tidak mengikut saranan agama.
"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.
Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya benih-benih jernih yang keluar dari kelopak mataku. Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.
"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.
***
"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya suamiku memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.
Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku,"Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?"
 Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.
Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.
Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan.
Sudahlah kacak, baik pula tu' Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau awak tak selesa Abang faham. Ni kali pertama awak hidup tanpa parents kan. Abang faham Zahrah. Susah bagi awak nak terima semua ni. Tapi, dari tadi  Abang tak nampak pun Zahrah senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum," dia cuba memujuk agar aku mengukir senyuman.
Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia malah aku tak pernah mengenalinya secara dekat sebelum ini. Oleh sebab itu aku perlu tahu. Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu ke? Ye lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni pilihan dia yang terakhir.
"Hmm.... awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.
"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami diikuti ketawa kecil.
"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.
"Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum," soalanya kembali dengan lemah lembut.
"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?" bentakku.
"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?" Soalnya pula seakan ingin menjeratku kembali.
Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Aku tidak tahu. Aku keliru.
"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.
"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?" Bentakku sudah hilang sabar kerana terasa seolah      sedang dipermainkan.
Dia agak terkejut dengan nada ku yang tinggi itu. Namun dia tidak marah. Yang menghairankan ku lagi, dia cuma tersenyum.
"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah," ujarnya ringkas tetapi seakan penuh makna.
"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice. I'm tired of being the person who people i'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku panjang dan keras.
Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.
Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.
"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada," balasnya lembut penuh hikmah dengan makna yang amat mendalam.
Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya. Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya.
"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang," tutur suamiku ikhlas.
Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.
"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara," pujuknya tatkala melihat aku mulai menangis.
"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah," aku cuba menduganya dalam sedu-sedan.
"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?"
"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..." aku masih ingin menduganya. Aku mahu dia tahu aku bukanlah sebaik dirinya. Aku tidak setaraf dengannya.
Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."
Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.
"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh" ujarku terketar-ketar dalam tangisan.
Suamiku hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.
"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak langsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang" terangku satu persatu.
"Zahrah, sudahlah tu. Abang faham Zahrah inginkan penjelasan. Memang Zahrah berhak tahu kenapa abang berkahwin dengan Zahrah. Im marrying you because of Allah and the answer will remain the same forever. Zahrah percayakan Abang?" Soalnya ingin tahu isi hatiku.
Aku mengangguk tanda setuju.  Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi. Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya. Terima kasih, Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu. Terima kasih, Ya Allah!

~ CiNtA IsLaMik~

Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam. Antara ayat-ayat yang kerap mereka ucapkan seandainya berbicara tentang cinta adalah:
'ala..aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..'
'saya cintakan awak kerana Allah..'
'Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..'
Firman Allah S.W.T:
"Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)
Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naik nya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang. Bagaimana kita bisa menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber'couple' sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.
'macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!'
'kalau minta 'break', nanti dia sanggup tunggu aku ke?'
'
'tak apa kot, kami bukan macam pasangan lain,kami jaga pergaulan walaupun 'couple'
'kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..'
Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya?. Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.
Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100%  tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.
Firman Allah di dalam Surah An-Nur:
"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Al-Nur 24 :26)
Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi 'realiti kehidupan' ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati. Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan. Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud ;
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa" (Al-Furqan 25:74")
Ingatlah! percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.





~ KaLau Hati BaiK,WaJah SenTiaSa CantiK~

Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?" keluh seorang sahabat rapat kepada saya.
"Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri," tambahnya lagi.
"Mengapa? Teruji sangatkah?"
"Apa tidaknya... di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian."
"Kau menjaga pandangan?"
 "Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu."
 "Ya, Iman kita sering teruji," balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.
"Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik, cantik. Tapi entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri."
 "Kita dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini," pujuk saya untuk meredakannya.
"Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita hadapi ujian itu."
 Saya senyum. 'Bantuan' yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.
"Kau yang mesti mulakan dulu, insya-Allah isteri akan mengikut nanti," cadang saya.
"Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat 'signal' tu..."
 "Amin."
 Saya termenung memikirkan 'masalah kecil' yang kekadang boleh mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias.
"Apa guna, kita dah tua."
"Alah, awak ni tumpu ibadat lah."
"Dah tua buat cara tua."
Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.
Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik ( seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.
"Tak berani poligami?" Dia menggeleng kepala.
"Tak ada calon ke?" saya mengusik lagi.
"Ramai..."
Memang saya lihat pada usia awal 40-an dia tambah segak dan bergaya.
"Habis kenapa?"
Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.
"Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia. Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka."
"Kau sudah berterus terang dengannya?"
"Tentang apa, tentang poligami?"
"Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?"
"Aku takut melukakannya."
"Tak mengapalah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka," saya berkata dengan nada sinis.
Dia faham maksud saya.
"Aku sedang mencari jalan berterus-terang," dia mengaku juga akhirnya.
"Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik..."
"Lagi?"
"Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk, dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua," saya senyum.
Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana 'ayam-ayam' tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa. Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka, berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?
Mencari kecantikan isteri, bukan isteri yang cantik.
"Kita para suami pun banyak juga salahnya," kata saya.
"Kita tak berhias?"
"Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu," tambah saya lagi.
"Salah bagaimana?"
"Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!"
"Dalam makna kata-kata kau tu..."
"Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri. Di mana kecantikan sejati mereka selama ini."
"Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga."
"Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik."
"Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi, aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya."
"Kasih ke kasihan?" saya menguji.
"Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan."
Tongkat 'muhasabah diri' vs tongkat Ali
"Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua."
"Maksud kau?"
"Bila kita sedar kita telah tua, kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi."
" Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?"
Saya diam.
"Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah."
Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50-an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.
"Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi..." tegas sahabat saya itu.
"Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji Iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan."
"Ya, kalau kita baik, isteri pun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!"
Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Seperti Imam Safie, pada usia-usia begini ramai suami yang mula mencari tongkat. Sayangnya, bukan 'tongkat muhasabah diri' tetapi 'tongkat Ali!



~Bila Cinta Berputik. Adakah Dia Jodohku??~

"Tiada terfikir,
Terlintas Engkau akan tiba,
Membawa perangsang.
Tiada terfikir, Terlintas,
Engkaukan membuka,
Sempadan perasaan.
Bunga kembang bertali hati, Bunga kembang di puncak akli"
Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.
Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.
Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.
Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!
Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.
Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!
Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?
Oleh sebab itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan di mana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.
Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.
Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.
Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?
Pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.
Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala di luar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.
Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.
Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.
Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah S.W.T, tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.
Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah S.W.T.