Thursday, July 28, 2011

Syukuri Nikmat Ujian | iluvislam.com + discover the beauty of islam

"Ya Allah, jika segala kesusahan dan keperitan ini mendekatkan aku dengan-Mu, janganlah engkau mengurniakan aku kesenangan dan kemudahan kerana aku takut aku akan jauh dari-Mu lantaran kelalaian dan kealpaanku."
Dalam hidup ini, kita sering diuji dengan berbagai-bagai ujian dari Maha Pencipta. Ujian yang didatangkan itu kadang-kadang merupakan satu peringatan di atas kelalaian ataupun satu hukuman lantaran kesalahan dan tidak kurang juga hanya semata-mata ujian untuk menduga tahap kesabaran dan keimanan kita. Kita diuji dengan sesuatu yang kita mampu hadapi kerana Yang Maha Mengetahui kemampuan dan keterbatasan kita hanyalah Allah Yang Esa.
Sesetengah orang diuji dengan harta kekayaan, kemewahan dan kesenangan. Manakala, sebahagian yang lain diuji dengan kesusahan, kedaifan dan kesulitan. Semua itu hanya satu tujuannya iaitu untuk mengukur sejauhmana kita bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan.
Bagi orang yang punya semuanya, seharusnya di hati mereka tiada perasaan riak, sombong, takbur, dan kedekut kerana semua yang dimiliki itu adalah pinjaman Allah semata-mata. Apabila Dia mengkehendakinya semula, pasti Dia boleh menarik balik dengan sekelip mata. Sedangkan bagi mereka yang tak punya apa-apa seharusnya tiada sekelumit pun perasaan kesal, dengki, iri hati dan rendah diri kerana Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani boleh mengubahnya dengan membuka pintu rezeki.
Di antara dua ujian itu terselit satu persamaan iaitu bersyukur. Jika kita diuji dengan segala macam kesenangan nikmat duniawi kita perlu bersyukur. Begitu juga jika kita diuji dengan segala ketidakcukupan duniawi, kita juga perlu bersyukur.
Bagi mereka yang punya segala, bersyukurlah dengan kurniaan yang dianugerahkan, berbahagilah sesama saudara, rakan dan jiran serta jauhkan dari sikap menunjuk-nunjuk dan meninggi diri. Bagi mereka yang tidak punya, tidak perlu menyesali takdir, merasa iri dengan kesenangan orang lain dan tidak perlu terlalu merendah diri atas segala kekurangan. Bersyukurlah dengan apa yang ada kerana syukur itu adalah tanda Iman. Apabila kita bersyukur, nescaya Allah akan menggandakan nikmatnya kepada kita.
Kita juga boleh berfikir begini "Jika aku senang mungkin aku akan lalai dan hanyut dalam kesenangan itu. Aku tidak mampu menanganinya dengan baik, maka Allah berikan aku kesusahan." Ataupun "Jika aku susah mungkin aku akan melakukan banyak kemungkaran. Aku tidak mampu hidup susah, maka Allah berikan aku kesenangan." Maka bersyukurlah. Susah ataupun senang, kedua-duanya adalah antara nikmat dan ujian dari Allah. Alhamdulillah...
Kesimpulannya, walau apa juga ujian yang diberikan kepada kita, baik hidup senang atau susah, kita hendaklah bersyukur. Bagi yang senang tidak perlu menghina yang susah dan yang susah tidak perlu mencemburui yang senang. Barulah semuanya akan hidup aman. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya tentang hamba ciptaan-Nya dan Dia tidak membebani kita melainkan dengan beban yang mampu ditanggung oleh kita. Wallahua'lam.

Hatimu Lumrah Islam | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Man Ana Ya Rabb...
Terkapai-kapai keresahan, diulik mimpi fatamorgana lalu...
Apakah kebahagiaan yang diimpikan bisa menjadi kenyataan atau ia sebenarnya sekadar ilusi bersama sisa-sisa dosa?
Adakah mentari pagi tidak akan bersinar lagi setelah senja melabuhkan tirai?
Kemuraman suasana senja mengheret jiwa menjadi suram tanpa cahaya pengharapan?
Ohhh tidak...
Tibanya malam, bertambah gelora hati ini.
Tidakkah aku terfikir senja yang muram, malam yang gelap hanyalah pusingan yang silih berganti dengan siang mentari pagi.
Tidak perlu menghukum diri untuk terus terbenam di dalam selut kemusnahan semata-mata kerana teringat kebodohan diri yang lalu.
Itu adalah permainan Syaitan yang cuba menangguk di air yang keruh. Kejayaan bagi Syaitan tidak dilihat pada kesilapan yang telah kita lakukan tetapi pada kesilapan seterusnya yang berkait-kait sehingga kita lemah dan melupakan pintu rahmat dan keampunan ALLAH S.W.T yang terbentang luas.
Kuatkan diri meniti kemuraman senja, kerana tiada kuasa yang dapat menghalang kehadirannya dan yakinlah ia pasti akan pergi apabila tiba masanya. Walaupun perginya disambut pula dengan kegelapan malam, namun hiasilah malam dengan ayat-ayat cinta dan butiran manik-manik suci.
Laluilah...
Insya-Allah...kesabaran, ketakwaan dan keyakinan akhirnya membawa kegirangan tika mentari tiba.
Fahamilah bahawa apabila kita merubah fikiran sebenarnya kita merubah kehidupan,Fahamilah rintangan paling besar untuk berjaya dan bahagia adalah ketakutan dan ketiadaan yakin diri untuk berubah,Fahamilah kejayaan hanya untuk orang yang hendak berjaya dan menyiapkan dirinya untuk menerima kejayaan.Keresahan dan ketakutan sebenarnya wujud dalam imaginasi.
Jangan biarkan ia mengawal diri sehingga kita jauh dari pengharapan yang dinanti,Hikmah kehidupan perlu dihayati dan diselami,Hayatilah, selamilah dengan redha-Nya di sisi.
Insya-Allah

Andai Dia Pergi Dahulu Sebelum Mu | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sapuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya... kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!
Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?
Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala... yang mengalir selamanya..
Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah. Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!
Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah... diadukan kesedihan kepada Allah.
Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah. Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi... tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.
Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah "pemutus" segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.
Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.
Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti khadijah... Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!
Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.
Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di Karbala.
Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan... ketika itulah baginda menyebut, "rafiqil a'la, rafiqil a'la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!"
Dalam "kamus" kehidupan para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa.
Namun begitu, di saat sakaratul yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita... umat yang akan ditinggalkannya.
Semua orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.
Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:
"Aku telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: "Mengapa engkau kerjakan?" Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: "Mengapa engkau tidak kerjakan?" Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: "Mengapa ada pula barang ini?" Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:"Alangkah baiknya kalau barang itu ada." Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: "Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!"
Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu tepat dan padat , ana abdullahi walan yudhi'ani , aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!"

Kenapa Aku Masih Solo? | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang.
Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat.
Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan.
Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar.
Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman.
Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.
Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini.
Tips: Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.
Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.
Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu.
Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah.
Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.
Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan.
Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju.
Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta.
Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan.
Tips: Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.
Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.
Demikian juga perkahwinan.
Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.
Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki kealam berumahtangga.
Bukankah dangan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah?
Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?
Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?
Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu.
Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu.
Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.
Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat.
Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.
Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya.
Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan.
Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.
Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.
Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali.
Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi.
Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada.
Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada.
Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat.
Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai.
Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.

Tuesday, July 26, 2011

~ PeNgaKuaN IkhLas SeOraNg HamBa AllaH ~




Alhamdulillah..Syukur  ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat ana mencoret bingkisan hati seseorang dalam blog ana ini..Ana coretkan buat tatapan semua agar kita menghayati kisah benar ini dan mengambil pedoman di sebalik kisah ini..Masyaallah,ana terlupa pula..Ana ingin mengucapkan  jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi menjengah di blog ana..Syukran jazilan..Ya, Allah,ku mulakan langkah coretan ini dengan lafaz ..Semoga Allah mempermudah ana untuk mencoret sebuah kisah yang benar-benar lahir dari hati seorang hamba Allah  yang sedang mencari ketenangan jiwa..


Kisah ini mengenai seorang hamba Allah yang bergelar Adam dan juga seorang insan yang dipanggil Hawa... Adam ini merupakan seorang pelajar aliran agama di sebuah sekolah yang terkenal di sebuah negeri. Apabila kita mendengar nama sekolah tersebut insyaallah kita pasti akan mengetahuinya..Sekolah ini banyak melahirkan mujahid yang soleh serta disegani..Alhamdulillah,Adam juga sedemikian...Hawa juga belajar di sekolah aliran agama..Sekolah yang menempatkan semua pelajar perempuan.Hawa seorang yang pemalu serta menundukkan pandangan.Malu menjadi perisai buat Hawa. Ada sesetengah sahabat mengatakan Hawa seorang yang sangat pemalu dengan lelaki tetapi ramah dengan perempuan..Keluarga Hawa amat menitik beratkan pergaulan Hawa..Emak ana pernah berkata" Bukan mudah untuk menjaga seorang anak perempuan..Mendidik dengan kesabaran dan ketabahan. Pegangan agama penting untuk membentuk gadis yang solehah". Mungkin pendapat emak ana serupa dengan pendapat ibu Hawa.


Tidak pernah terlintas di hati Hawa untuk berkenalan dengan Adam.Hawa tidak mempunyai rakan lelaki.. Malunya Hawa untuk menjalinkan persahabatan dengan lelaki..Hawa memegang prinsip " Hawa akan mengenali dan mencintai suami Hawa yang sah buat Hawa.." Tetapi,kehadiran Adam ke dalam hidup Hawa memberi seribu kelainan dalam hati Hawa..Hawa menerima perkenalan Adam dengan hati yang tulus dan ikhlas.. Hawa melihat keperibadian Adam yang soleh untuk berkawan..Hawa senang berkawan dengan Adam.. Ibu bapa Hawa tidak mengetahui tentang persahabatan antara Adam dan Hawa... Hawa bimbang dengan reaksi ibu bapanya..Mesej tentang agama sering dihantar oleh Adam kepada Hawa..Hawa berasa gembira dan terharu dengan mesej Adam..Adam banyak memberikan ilmu pengetahuan yang baru kepada Hawa..Hawa dan Adam tidak selalu mesej memandangkan Adam tinggal di hostel..


Setelah beberapa bulan berkawan,mesej Adam diselitkan dengan kata-kata rindu..Hawa hairan dengan sikap Adam.Mungkin Adam mahu bergurau dengan Hawa..Mahu melihat reaksi Hawa. Hawa tergelak dengan mesej Adam..Hawa membiarkan Adam dengan kata-kata rindunya...Sampai satu saat dan tika, Adam meluahkan rasa isi hatinya kepada Hawa..Hawa terkejut kerana tidak menyangka Adam mempunyai perasaan kepadanya..Hawa meminta masa kepada Adam untuk melakukan solat istikharah... Hawa menerima Adam dengan ikhlas..Niat Hawa untuk sama-sama membantu ,saling menegur serta saling memperbaiki diri untuk menuju jalan Allah..Hawa tidak memberitahu Adam dengan jelas..Adam terkapai-kapai menanti jawapan Hawa ...Adam telah bertemu dengan sahabat lamanya yang telah lama menaruh hati kepadanya..Adam menerima sahabat lamanya itu..Hawa berasa kecewa ..Sangat-sangat kecewa kerana bukan mudah bagi Hawa untuk menerima Adam dalam hidupnya..Tika saat Hawa menerima Adam dalam hidupnya, Adam telah menerima sahabatnya itu...


Hawa bersa sangat hampa dan kecewa..Lantas perhubungan itu terputus..Adam berasa bersalah kepada Hawa..Adam sangat menyayangi Hawa..Adam pernah berkata kepada Hawa " Sekiranya dialah jodohku,walau sebagaimana pun fizikalnya,Adam redha dan terima.." Hawa membawa diri.. Hawa mengenali sahabat Adam bernama Aiman.Aiman merupakan sahabat baik Adam..Aiman juga merupakan sahabat kepada Hawa..Perkenalan Hawa dengan Aiman terjadi apabila Adam menggunakan handphone Aiman untuk menghubungi Hawa..Pertemuan pertama telah diatur tetapi tidak diizinkan oleh Allah...Aiman memujuk Hawa agar menerima Adam kembali..Hati Hawa yang luka berdarah tidak mampu dipujuk..Aiman gagal memujuk Hawa agar menerima Adam..

Adam mempunyai dua orang sahabat baik iaitu Aiman dan juga Aiyad..Setiap pagi,mesej daripada Aiman dan Aiyad akan memenuhi inbox Hawa..Aiyad cuba memujuk Hawa untuk menerima Adam semula..Adam sering menyebut nama Hawa dalam tidurnya.. Hawa berasa bersalah kepada Adam..Hawa menerima kembali Adam dengan seadanya..Hubungan Adam dan Hawa sering dibatasi dengan adab pergaulan.. Adam dan Hawa tidak pernah bertemu walaupun sudah tiga tahun bersahabat..Hawa dan Adam sering bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai perkara..Musyawwarah antara mereka kadang-kadang sampai tercetusnya perselisihan pendapat.Adam mahupun Hawa sering mengingatkan diri masing-masing untuk sentiasa mencari cahaya Islam yang sebenar..Mereka berteman untuk saling melengkapi..Saling tegur menegur.. Apabila Adam silap membuat percaturan,Hawa akan menegurnya begitulah juga dengan Hawa...Adam pasti akan membantu Hawa sekiranya Hawa khilaf..Pertemuan Adam dan Hawa terjadi jua di sebuah kawasan rehat berhampiran rumah Adam..Hujan membasahi bumi namun Adam meredah jua demi berjumpa Hawa.. Adam berjumpa Hawa di depan toilet..Ana rasa mahu ketawa apabila mendengar Adam dan Hawa berjumpa di depan toilet..Adam memandang Hawa namun Hawa tidak memandang Adam..Hawa hanya menundukkan pandangan dan tidak mengangkat wajahnya untuk melihat Adam..Malu Hawa begitu menebal dalam dirinya..


Adam dan Hawa mendapat keputusan SPM hampir sama..Adam dan Hawa mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di tingkatan enam..Adam dan Hawa telah bertukar ke sekolah harian biasa.. Pelbagai dugaan dan ujian mendatang ketika mereka di tingkatan enam..Adam dilantik sebagai ketua pengawas.. Adam menjadi igauan pelajar di sekolahnya..Ada pelajar yang sanggup menabur fitnah untuk mendapatkan Adam..Hawa ingin mengundurkan diri daripada situasi tersebut.. Hawa berdoa agar kepergiannya akan membawa kebahagiaan kepada Adam..Namun,Adam tidak membenarkan Hawa pergi..Peperiksaan STPM menjelang..Adam dan Hawa mendapat keputusan yang boleh dibanggakan..Alhamdulillah.. Adam dan Hawa pergi ke Jom Masuk U di Jitra..Adam ingin bertemu dengan ibu bapa Hawa...  Adam menemui ibu bapa Hawa dengan berani..Ana puji sikap Adam..Ikhlas apabila bertemu dengan ibu bapa Hawa..Adakah ana akan berjumpa lelaki seperti Adam? Hawa menyorok di belakang bapanya ketika Adam berjumpa dengan ibu bapanya...Lucu benar Hawa..Hawa ohh Hawa..Hawa memasuki sebuah universiti di utara tanah air dan Adam pula diterima masuk di UPSI..

Kehidupan Adam di universiti sangat sibuk..Perhubungan mereka terbatas..Adam menjadi ahli jawatankuasa di kolejnya.. Adam memiliki rupa yang segak serta alim..Sudah tentu ramai  gadis di UPSI yang jatuh hati kepada Adam..Hubungan Adam dan Hawa kian renggang..Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing.. Suatu hari,Hawa berasa sangat sedih..Adam tidak menghubunginya setelah beberapa hari lamanya.. Sungguh hati Hawa terkenang Adam..Hawa menangis dengan hiba..Di saat hidayah Allah menyapa,Hawa tersedar.. Hilang prinsip yang dipegangnya...Cinta itu hanya untuk suaminya..Hawa takut hubungan yang terbina ini akan terputus di tengah jalan dan rasa bersalah terhadap kepada suaminya nanti kian bersarang di dalam jiwa..Lantaran itu,Hawa telah membuat satu keputusan yang sangat mengecewakan Hawa dan Adam.. Pada detik 24 April 2011,hari ulang tahun kelahiran Adam yang ke 21..Hawa telah memberi kata putus untuk mengakhiri hubungan itu..Deraian air mata Hawa bagai hujan yang turun.. Kecewa,pedih,terluka dan semua perasaan bercampur baur..Tetapi,Hawa harus kuat dan tabah menghadapi hidup..Adam juga berasa sangat kecewa dengan Hawa.. Adam tidak tahu  bahawa Hawa juga turut terseksa setelah hubungan yang telah lama disemai putus di tengah jalan..Hawa lakukan semua ini untuk kebaikan mereka..Hawa juga baru sedar bahawa Islam tidak menghalalkan cara walaupun masing-masing cuba menjaga batas-batas pergaulan.. Adam dan Hawa sangat menjaga batas pergaulan...Bila hati berbunga sayang,itulah dinamakan zina hati..Bila Hawa melontarkan suaranya dan Adam terbuai dengan suara Hawa..Zina telinga telah mereka perolehi..

Hawa mempunyai perasaan yang mendalam kepada Adam..Hawa berharap agar Adam menjadi imamnya nanti serta menjadi pembimbing dan pelindungnya nanti..Sungguh Adam telah menawan hati hawanya namun Hawa lebih mencintai Allah..Cinta Hawa lebih mendalam buat Allah..Hawa tidak mahu menjadi fitnah buat Adam..Hawa tidak mahu mengheret Adam ke lembah kehinaan..Mungkin Adam tidak mengerti apa yang Hawa lakukan dan menganggap Hawa mempermainkannya..Sungguh Hawa sangat menghormati Adam dan ikhlas dengan Adam selama ini..Hawa tidak mahu merindukan Adam yang bukan miliknya yang sah..Hawa mahu setiap denyutan rindu itu membawa pahala iaitu rindu seorang isteri kepada suaminya..Hawa rasa bersalah sekiranya Adam bukan jodohnya nanti..Hawa mahu menyediakan yang terbaik buat suaminya kelak.. Sekiranya telah tersurat Adam itu jodohnya,pasti Hawa akan berasa gembira dan bersyukur kerana mereka telah saling mengenal hati budi masing-masing..Hawa tabah menghadapi ujian Allah..Ujian hati yang amat mendalam buat insan bergelar Adam..Layar keinsafan menyapa Hawa biarpun hati Hawa sangat terluka..Cinta Allah adalah segala-galanya..Cinta Allah adalah yang hakiki..Hati yang kecewa diubati dengan zikir,berqiamullail serta melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran.. Hawa sedih namun keceriaannya tidak dapat ditebak walaupun hatinya lara..Senyuman yang terlukir di bibir Hawa dikuntum manis buat tatapan semua.. Biar pun hati Hawa disarat dengan duka tetapi Allah sentiasa ada buat Hawa...

Hati Hawa terubat apabila mendengar satu ayat yang menyatakan bahawa sekiranya kita menyimpan perasaan terhadap seseorang dan kita diamkannya,kita akan mendapat pahala...Hawa mahu menyimpan perasaannya terhadap Adam..Hawa sentiasa mendoakan kebahagiaan Adam... Hawa mendidik hatinya untuk melupakan Adam..Biarpun sukar untuk Hawa lupakan Adam,tetapi Hawa terus berusaha.. Hawa menyatakan walaupun sudah beberapa bulan putus dengan Adam,fikirannya selalu melayang mengingati Adam..Betapa sukar Hawa ingin menghilangkan bayangan Adam..Syaitan sering menggugat iman seseorang hamba Allah.. Hawa pasrah dengan ketentuan Allah..Biar pun Adam sudah terpisah jauh dan melupakannya, Hawa masih ada Allah untuk bergantung harap..Hawa mengakui bahawa hidupnya sepi namun Hawa pasti bangun dan menerima ujian Allah.. Hawa yang ana kenali suka ketawa dan menceriakan hidup orang lain walaupun dia sendiri mempunyai bebanan yang perlu ditanggungnya...

Hawa tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan Adam..Biar pun Adam mempunyai teman baru,Hawa gembira kerana ada orang yang membahagiakannya..Ada gadis yang sudi membuatkan Adam tersenyum..Hawa juga melayangkan sekeping warkah buat ibu Adam..Hawa menerangkan bahawa Hawa tidak mahu menjadi fitnah buat anak lelakinya..Sungguh Hawa menyayangi ibu Adam dan sangat menghormatinya..Hawa menitiskan air mata ketika menulis warkah buat tatapan ibu Adam..Tidak sanggup membiarkan pen menari membicarakan rasa hatinya.. Hawa berterus terang dengan ibu Adam..Bukan niatnya mahu mempermainkan Adam tetapi hukum Allah itu mengatasi perasaan yang berputik antara Adam dan Hawa..Hawa sangat lemah pada awalnya namun Hawa bangkit demi menjadi muslimah yang sebenar..Bangkit melawan nafsu yang merajai hati..Hawa  terguris seandainya ibu Adam tidak mengerti niat di hatinya..Hatinya sudah dibawa pergi ..Membiarkan hidayah menyapa diri..

Buat Hawa,tabah dan sabar menghadapi dugaan hidup yang Allah telah tetapkan..Usahlah dirisaukan hal tentang jodohmu kerana Allah telah menetapkan jodohmu sejak kamu dalam kandungan ibumu.. Allah tahu apa yang terbaik buatmu..Senyumlah pada takdir dirimu..Sabar itu adalah kemanisan iman..Insyaallah Allah telah tetapkan jodoh yang terbaik buat dirimu..Ana doakan agar Hawa berjaya di duniawi dan ukhrawi.. Insyaallah..Ingat,bukan mudah untuk melakukan perkara yang baik tetapi bukan senang mustahil untuk melakukannya..U can do it!!!..Allah sentiasa mendengar permintaan dan rintihanmu..Allah always with you.. Jaga hubungan dengan Allah dan jagalah hubungan sesama manusia..

Buat Adam,ana doakan kebahagiaan Adam walau siapa pun pilihan Adam..Semoga Allah memberikan zaujah yang terbaik buat Adam..Jangan membenci Hawa kerana Hawa ingin mengelakkan dirinya daripada terus menjadi fitnah buat Adam..Hawa ikhlas selama ini dengan Adam tetapi Hawa memikirkan masa hadapan kalian..Sekiranya Adam marah dengan Hawa,maafkanlah Hawa .. Hawa cuma ingin menjadi seorang isteri yang solehah buat suaminya kelak..Doakan Hawa mendapat zauj yang dapat membimbing Hawa..Ana memahami perasaan Hawa yang selalu menitiskan air mata.. Biar pun setelah sekian lama kalian putus,namun Adam tetap di ingatan..Payah untuk Hawa melupakan Adam.. Semoga kalian akan berjaya di masa hadapan dan salam kemaafan dari ana buat kalian..

Tulus ikhlas dari BISIKAN NURANIKU...