Saturday, April 30, 2011

~ Cinta Cahaya Iman~

Cinta datang pada Iman
Tangannya tidak henti menarik rumput di tepinya. Melepaskan gelora di jiwa, menahan air mata yang berdosa itu menitis lagi. Imannya meronta-ronta kerana kalah pada nafsu yang yang tengah bersorak gembira.
"Maafkan aku wahai iman," Nurul Iman bermonolog sendirian.
Tidak dapat diseka lagi air mata jernih itu jatuh. Iman diselubungi rasa bersalah yang teramat sangat dalam dirinya. Ya, sebelum ini bukannya dia tidak tahu tapi kehendak nafsu itu lebih diutamakan. Itulah Nurul Iman pelajar Tahun satu dalam bidang Syariah dan Bahasa Arab. Seorang pelajar yang hebat berkata di pentas perjuangan. Dia juga barisan kepimpinan dakwah di situ. Hebatnya Iman dalam perjuangan memberi suntikan semangat kepada akhawat yang lain.
Tetapi Iman tewas pada satu persada yang lain. Air mata Iman jatuh lagi mengenangkan kebodohan diri sendiri. Mengenangkan kembali saat perkenalan dengan seorang lelaki sewaktu Iman menjalani kem Perkasa Diri selepas SPM. Ketika itu, Iman hanyalah perempuan biasa yang baru mengenali erti kehidupan di luar sana. Di kem itu banyak mengajar Iman ketika berjauhan dengan keluarga.
Kenalnya Iman pada lelaki itu kerana dia merupakan peserta aktif dalam dakwah di situ. Memang lelaki itu baik, mana tidaknya dialah imam di surau, dialah mengetuai majlis ta'lim, dialah yang menganjurkan aktiviti-aktiviti di surau untuk menarik hati peserta untuk ke surau. Hati Iman terjentik pada kebaikan yang dia lakukan.
"Siapa nama awak?", dia mula bertanyakan Iman ketika dalam satu aktiviti kumpulan. Iman hanya menghulurkan sebuah buku pada dia yang tertulis namanya di situ.
"Nama awak seperti awak", dia memulakan bicara. Iman hanya tersenyum ketika itu.
"Nama saya Hafiz Ad-Din, panggil saje Hafiz. Awak memang tak banyak bercakap ker?"
"Bukanlah, saya memang macam ni, saya tak kenal awak, buat ape saya nak cakap dengan awak." Iman berkata jujur. Memang Iman begitu, hanya bercakap apabila perlu sahaja. Tetapi apabila Iman bersuara, semuanya kaku mendengar bicaranya.
Pada saat itulah Iman mula mengenali insan bernama Hafiz. Iman mungkin menganggap dia sebagai sahabat, tapi Hafiz cuba mencuri hati Iman. Hafiz tahu sukarnya dia mendekati insan yang bernama Nurul Iman.
Ketika hari terakhir di kem itu, Iman mula merasai niat Hafiz pada dirinya. Iman mula merasa serba salah tentang perasaan itu. Dia sendiri pun tidak memahami perasaan hatinya ketika itu. Iman menulis sepucuk surat pada Hafiz. Dalam surat itu pena Iman menulis..
Salam sahabat,
Jodoh itu satu ketentuan dari Ilahi,
Usahlah awak bimbang dengan ketentuan itu,
Andainya saya milik awak, saya tetap milik awak suatu hari nanti,
Tapi andainya saya bukan untuk awak..
Ingat, ketentuan Allah itu terselit sejuta hikmah,
Yang lebih baik itu sedang menanti awak..
Syukran atas persahabatan ini =)
~Nurul Iman Abd Majid~
Iman menghulurkan surat itu pada dia dengan seribu harapan yang tercipta agar dia mengerti isi hatinya.
''Terima kasih, jaga diri baik-baik. Kalau rindu, tengok bulan," Hafiz hanya melihat wajah lembut Iman. Baginya Iman adalah segalanya. Dia tekad mahu menjadikan Iman zaujahnya satu hari nanti.
Iman tidak mampu berkata-kata. Iman tidak faham akan perasaannya. Adakah hatinya sudah mencintai dia.........
Sekarang sudah dua tahun dia mengenali haffiz. Walaupun masing-masing berada di jalan juang yang berbeza tetapi Iman dan Haffiz kerap berhubungan melalui telefon. Iman mula menerima cinta Haffiz dengan harapan dialah zaujun dia suatu hari nanti. Iman bukan tidak tahu cinta sebelum nikah ini lebih lebih menjerumuskan kepada zina. Itulah Iman, sentiasa kalah pada mujahadah nafsu.
Kadang-kadang dia cuba mengelak dari menjawab panggilan dan SMS daripada Haffiz. Iman juga cuba terangkan kepada Haffiz perhubungan yang disyariatkan dalam Islam. Iman kaku kerana dia tahu dia banyak melukakan hati Haffiz secara tidak langsung.
"Seorang lelaki yang baik, dia tidak akan membiarkan orang yang dicintai itu bersama-sama melakukan dosa". Iman terpaku mendengar ceramah ''Manisnya Cinta selepas Nikah".
Jikalau benar Haffiz itu mencintai dirinya, kenapa dia tidak pernah terfikir perhubungan seperti ini akan banyak mengundang dosa. Iman tidak mahu baitul muslim yang dibina atas perhubungan yang tidak diredhai.
Iman tidak pernah putus berdoa andainya Haffiz itu terbaik untuk dirinya dunia dan akhirat, Iman memohon petunjuk daripada Allah. Tetapi seandainya dia bukan jodohnya, Iman memohon agar Allah memberi petunjuk untuk menjauhkan diri dari dia tanpa melukakan hatinya.
Cinta Memakan Hati Iman
Jam menunjukkan tepat pukul 1.30 pagi. Hidup sebagai pelajar siswazah memang tidak lari dari tugasan-tugasan yang melambak. Iman nekad pada dirinya, perjuangan dalam menuntut ilmu itu adalah satu jihad. Sebab itu Iman mampu menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan pada waktunya walaupun begitu banyak amanah yang terpikul di bahunya. Iman memang bijak meletakkan kewajipan pada tempatnya. Iman tidak mahu orang berkata, orang itu hebat dalam berdakwah, tapi dalam kelas pun tidur.
Mata Iman sudah mula mengantuk, dia menutup laptopnya dan mengemas semua buku-buku sebelum tidur. Iman ke tandas untuk menggosok gigi dan mengambil wudhu'. Sekembalinya dia ke bilik, dia melihat skrin handpnone menyala. Dia melihat satu panggilan tidak dijawab.
Iman pelik kenapa dia menelefon pada waktu begini. Hati Iman mula sedih, kenapa dia tegar menelefon pada waktu sebegini. Iman memandang jam hampir pukul 2 pagi. Iman mula merasakan hatinya semakin jauh. Iman cuba menjaga perhubungan itu tetapi kenapa dia langsung tidak mengerti.. aduhai awak..
Bunyi jam loceng mengejutkan Iman. Iman bangun untuk menunaikan solat malam. Hatinya lebih tenang. Memang benar, bila mengingati Allah hati kita menjadi tenang. Disaat itu Iman mengadu segala masalah kepada Sang Pencipta. Iman menangis semahunya ketika dahi bertemu sejadah cinta.
Iman bersiap untuk ke kuliah seperti biasa. Iman kelihatan bersemangat hari itu. Jam menunjukkan pukul 7.20pagi. Iman mengambil sekeping roti yang disapu dengan jem sebagai pengalas perut. Tiba-tiba handphone Iman berbunyi. Melihat di skrin telefon itu "Haffiz is calling....."
Iman menjawab panggilan telefon itu.
"assalamualaikum Iman, apa khabar? Ada satu perkara saya nak bagitahu awak.." Haffiz memulakan bicara.
"waalaikumussalam, Alhamdulillah, saya ok jer. Hmm..ada ape? Maaf, semalam saya dah tido," Iman menjawab dengan bersahaja. Dalam hatinya memohon istighfar kerana menipu pada waktu itu.
"maaf mengganggu awak, saya nak bagitau awak yang saya tak boleh tidur semalam. Saya sakit, saya takut. Saya nak mintak maaf kat awak." Kedengaran suara Haffiz yang seperti tersedu sedan.
"syafakallah, ye ke..maafkan saya. Saya tak tahu. Tapi kenapa nak mintak maaf kat saya?"
"saya bersalah kat awak. Saya tipu awak sebab saya terlalu sayangkan awak. Saya berhubungan dengan orang lain. Saya tak tahu kenapa saya terima dia dulu sedangkan saya dah ada awak. Saya takut saya mati nanti saya tak sempat nak mintak maaf kat awak."
Hati Iman mula meronta-ronta.. hatinya bagaikan dicarik-carik. Iman tidak akan menitiskan air mata dihadapan lelaki.
"Iman, saya sayangkan awak. Saya mengimpikan awak menjadi zaujah saya satu hari nanti. Sebab tu saya taknak bagitahu awak..tapi saya tahu awak tak suka kan saya. Saya budak jahat.. tak sesuai dengan orang baik macam awak."
"saya tak tahu nak cakap apa lagi, semua dah terjawab. Terima kasih untuk semuanya. Saya harap awak menjaga hubungan awak dengan dia."
"Mesti awak tak sedih, sebab awak memang tak sayangkan saya. Saya terima semua tu. Tapi saya nak awak tahu saya tetap mengharapkan awak".
Hati Iman berkata, "saya dah mula sayangkan awak......"
Iman tidak tahan lagi, dia berlari ke tandas, tumpasnya air mata seorang mujahidah kerana seorang lelaki.......... Iman tewas.
"Iman, jangan biarkan air mata tu menitis lagi." Solehah menyapa Iman dari belakang mengejutkan Iman dari lamunan di tepi padang. Memang sudah lama Iman berada di situ. Seusai solat Asar di masjid tadi, Iman terus turun ke padang. Tempatnya mencari ilham sumber kekuatan diri.
"Solehah, Iman rasa berdosa sangat, Iman tewas..Iman tewas.. tewas pada nafsu sendiri. Kenapa Iman boleh menangis kerana seorang lelaki. Teruk lagi, Iman ditipu lelaki. Iman bodoh sangat.."
"Iman, muslimah yang sejati takkan sekali-kali mengalah. Ini tarbiyah dari Allah untuk Iman. Masa nie lah Iman dapat memperbaiki diri dengan memandang masa lampau itu sebagai tiket untuk Iman berubah."
Solehah sahabat Iman sejak mereka asasi lagi. Segala masalah mereka berkongsi bersama. Sebelum ini Solehah selalu menasihatkan Iman meninggalkan Haffiz. Tapi Iman meyakinkan Solehah yang dia mampu menjaga perhubungan itu. Hebatnya persahabatan mereka. Solehah tidak pernah meninggalkan Iman walaupun dia tahu kemenangan pada pihaknya. Bahkan Solehah turut menyelami kesedihan yang Iman rasa.
"terima kasih awak sebab jadi sahabat saya," Iman memeluk Solehah tanda dia terlalu menyayangi sahabatnya seikhlas hati.
Hati Iman berasa sangat bersyukur kerana disebalik hikmah kejadian yang berlaku, rupanya itulah jawapan untuk doanya selama ini. Jawapan yang Allah berikan itu, banyak mengubah Iman. Subhanallah, percaturan Allah memang hebat!! Iman sujud syukur atas hikmat tarbiyah yang diterima.

Iman meneruskan perjuangannya
"Asif, ana tidak setuju kalau enta buat keputusan untuk menggunakan peraturan mengenakan denda kepada mereka yang tidak bertudung labuh." Iman tegas bersuara dalam mesyuarat pimpinan dakwah. Keadaan kolej mereka yang semakin lama semakin teruk permasalahan sosial disitu. Masalah ini meyebabkan semua orang memandang kepada pimpinan dakwah untuk mencari punca penyelesaian.
"Kalo begitu apa yang jalan yang terbaik enti fikirkan?" soal Mujahid kepada Iman setelah pandangannya ditolak mentah-mentah oleh Iman.
Siapa tidak kenal Mujahid di Kolej itu. Memegang taklifan sebagai presiden dakwah dan seorang dalam ilmu agamanya. Kalo dalam mesyuarat, Iman dan Mujahid sering sahaja berbeza pendapat. Apa tidaknya Mujahid sering menggunakan kekerasan menyebabkan Iman kurang setuju dengan Mujahid.
"Ana cadangkan kita membuat liqo' kubro bersama semua nuqaba' sebab bagi ana usrah itu memainkan peranan yang amat penting dalam masalah ini. cuba enta lihat, usrah di sini semakin hambar. Ramai yang tidak melaksanakan usrah. Jadi, ana nak kita perkasakan usrah semula. Tarbiyah perlu ditanam dalam diri setiap nuqaba'." Iman memandang setiap pimpinan dengan harapan mereka memahami.
Maisarah mengangkat tangan untuk memberi pendapat. Mujahid hanya mengangguk untuk membenarkan Maisarah bersuara.
" Ana lihat sekarang kita hanya memikirkan dakwah umum sahaja. Banyak program yang kita laksanakan sebelum ini, Nampak besar tapi tidak memberi tarbiyah yang khusus pada nuqaba' sendiri. Lagipun kita hanya melaksanakan program-program tradisi yang mana senior-senior kita lakukan. Apa kata sekarang kita perkukuhkan tarbiyah pada nuqaba' sahaja. Maksud ana kita melaksanakan program-program yang biasa sahaja tetapi berterusan dan istiqamah. "
"Betul tu, kita menjadikan program yang biasa itu luar biasa," Iman mencelah.
Hampir dua jam mereka bermesyuarat. Memikirkan masalah ummat memang memerlukan yang lama untuk mencari jalan penyelesaiannya. Sebab itu Islam menganjurkan syura. Syura itu sunnah dan banyak barakah yang terkandung di dalamnya tetapi seadainya disalahgunakan ia boleh mengundang dosa.
"Kak Iman memang hebat memberi idea, kami pun nak jadi macam akak," Anis bersuara sewaktu pulang bersama-sama.
"akak tak hebat, akak banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki. Dalam perjuangan ini, kita harus kental dan kuat. Muslimah ada hak untuk bersuara tetapi ada batas-batasnya. Akak nak jadi seperti Khaulah Al-Azwar yang hebat pergi berperang bersama-sama sahabat Rasulullah." Iman menarik nafas mengenangkan dosa-dosa yang menyelimuti dirinya.
Hati Iman berbicara, "wahai adik-adikku, akak pernah tewas.."
Masa terus berlalu. Iman semakin matang dalam hidupnya. Meniti hidup ini perlu berhati-hati kerana kita tidak tahu apa rencana Allah kepada kita. Rencana untuk menguji hambaNya.
Setelah selesai solat zohor di masjid, Iman mendengar ta'lim daripada iman solat zohor tadi. Sejuk hati mendengar ta'lim berkenaan kepentingan solat berjemaah di masjid. Banyak fadhilatnya bagi mereka yang berjemaah. Sesuangguhnya semua ini adalah hidayah dari Allah. Iman bersyukur dengan hidayah Allah kurniakan kepada dia selama hari ini.
Iman mengenali suara yang memberi ta'lim hari itu. Siapa lagi kalau bukan Mujahid Al Firdaus. Di dalam kelas, mereka tidak pernah bersuara melainkan dalam mesyuarat sahaja kerana masing-masing memegang taklifan. Itulah Mujahid, berbeza di dalam kelas dan di dalam mesyuarat. Di dalam kelas Mujahid banyak berdiam diri dan menghabiskan masanya dengan membaca buku dan melayari internet.. Iman tidak nafikan kehebatan Mujahid... Dia memang hebat..
"Kalo jodoh Iman dengan Mujahid macam mana?" soal Solehah ketika kami selesai menunaikan solat Dhuha bersama.
"Ish, mana ada Solehah. Nie mesti tepengaruh dengan gossip liar kan. Saya mana layak Solehah. Awak pun tahun saya ni bukan perempuan baik."
"Iman, jodoh itu ketentuan Allah. Mungkin Iman tidak dengan dia tapi Allah menggantikan Mujahid untuk awak yang jauh lebih baik." Solehah tersenyum melihat wajah lembut Iman. Muslimah ini terlalu istimewa di mata Solehah. Kelembutan wajahnya memang menggambarkan kelembutan hatinya. Solehah amat mengenali isi hati sahabatnya itu.
"Dah Solehah. Saya serahkan jodoh saya seratus peratus pada Ilahi. Ikhlas saya cakap, hati saya dah tertutup untuk mana-mana lelaki." Iman menegaskan pendiriannya. Dia merasakan dirinya terlalu kotor mengenangkan dosa-dosa yang lampau.
Iman berdoa agar Allah tidak menguji hatinya lagi. Dia mengakui kehebatan mujahid tetapi mujahid belum dapat memenangi hati Iman. Iman bersyukur kerana Allah memegang hatinya. Bagi Iman cinta Ilahi itu cinta adalah segala-galanya.
Hidup Iman di kampus banyak dihabiskan dengan belajar, usrah dan persatuan. Di hujung minggu pula masa Iman terisi dengan daurah-daurah dan program pengisian rohani. Rupanya selama ini hati yang kosong itu dahagakan ilmu dan santapan rohani. Iman tidak pernah mengeluh hidupnya seperti tiada masa untuk berehat. Ya, seorang mujahidah memang tiada masa untuk berpangku tangan. Iman menggelarkan dirinya sebagai Mujahidah Amar Ma'ruf Nahi Munkar. Dia tekad..
Iman sangat takut pada kalam Allah yang menjanjikan kemurkaan yang amat besar bagi mereka yang perkatakan apa yang mereka tidak lakukan. Sebab itu Iman lebih berhati-hati dengan apa yang diperkatakan. Meraih syurga Allah itu terlalu sukar, memerlukan pengorbanan yang lebih. Iman mengimpikan syahidah di jalan Allah...
Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis
Tett..tett.tett... mesej handphone Iman berbunyi..
Salam, awak apa khabar? Saya rindukan awak. Saya tetap menanti awak. Andainya awak mengerti isi hati saya... maafkan saya mengganggu awak..
~Haffiz ad Din~
Iman cepat-cepat memadamkan mesej itu dari Inbox mesejnya. Ya Allah, dugaan apa lagi yang engkau berikan kepada hambaMu ini. Maaf Haffiz, Nurul Iman hari ini bukan seperti Nurul Iman yang awak kenal. Wahai hati, janganlah engkau menyerah diri lagi.
Iman membuka laptopnya. Pada mulanya dia ingin meng 'update' blog kesayangannya. Tapi tiba-tiba moodnya hilang. Dia membuka bacaan surah Al-Imran. Mendengar alunan kalam Allah membuat hatinya tenang.
Malam itu Iman keseorangan, roommate Iman pulang ke kampung. Kadang-kadang Iman cemburu dengan rakan biliknya setiap minggu pulang ke kampung. Apa tidaknya, Negeri Sembilan dengan Selangor tidak ada jauhnya pun. Keluarga Iman di Terengganu. Kalau cuti panjang baru lah Iman pulang ke kampong.
Siapa tidak rindu untuk balik ke kampung. Mengenangkan ayah bonda di kampung membuatkan Iman besemangat nak belajar. Pengorbanan ibu ayahnya tiada tandingnya. Iman bukanlah asal dari keluarga yang senang.Tetapi kesenangan itu tidak menjamin kebahagiaan andai jauh dengan Allah.

"Maaf Iman, itu buku saya,"
"Oh ye ke, maafkan saya. Saya ingat buku untuk dipinjam. Bagus sangat buku ni.terima kasih ea."
"xpe, maafkan saya. Sebenarnya semalam saya tertinggal buku ni di sini." Boleh saya nak buku tu, sebenarnya senior yang punya."
"ok, maafkan saya." Iman menghulurkan buku itu kepada Ameer Mukhlis.

Iman kenal dia disebabkan mereka satu batch. Ameer mukhlis hanya seorang pelajar yang biasa saja. Dia bukan pelajar kos agama tetapi penampilan dia seperti seorang ustaz. Mungkin itu keistimewaan ameer. Ameer pernah bersuara mengatakan pelajar-pelajar kos agama tidak menunjukkan tingkah laku sebagai budak agama. Ya, dia memang berani..
Iman sering mendengar kisah Ameer melalui sahabat-sahabatnya yang tidak berpuas hati dengan dia. Iman memang tidak suka melayan perkara yang remeh-temeh seperti ini. Bagi Iman mungkin benar apa yang diperkatakan oleh Ameer. Iman akui zon selesa yang mereka berada sekarang.
Iman pun hairan melihat sahabat-sahabat kos agamanya yang perwatakan seperti bukan budak-budak kos agama. Diorang sering menggunakan alasan, cara mereka itu adalah untuk mendekati pelajar-pelajar yang bukan kos agama. Tapi Iman hairan, kalau mahu berdakwah sekalipun kenapa perlu sampai hendak pergi solat berjemaah di masjid pun susah.
Lebih mengaibkan budak-budak bukan kos agama yang mengajak mereka. Itu yang Iman kesal dengan sesetengah dengan sahabat mereka.

"Kak Iman, tunggu kejap." Suara Anis memanggil Iman dari belakang.
"Ye Anis, ada apa?" Iman tersenyum melihat Anis yang tercungap-cungap seperti tergesa-gesa.
"Satu kolej anis cari akak, tak jumpa. Rupanya akak di perpustakaan. Akak off handphone ea."
"Ya Allah, ye ke. Maafkan akak. Handphone akak tak de bateri. Kenapa ni Anis?"
"Anis Cuma nak serahkan senarai nama naqib dan naqibah baru. Anis dah taip semula nama, kos dan nombor telefon diorang. Muslimin dan muslimat ada sekali. Jadi, Anis nak mintak akak tolong bagikan yang senarai muslimin kepada akh Mujahid ea. Lagipun akak sekelas dengan dia." Anis tersenyum sinis kepada Iman.
"tak pe, nanti akak bagi kat dia, lagipun lagi setengah jam akak ada kelas.Terima kasih ea Anis." Iman membalas senyuman Anis walaupun dia tahu isi tersirat disebalik senyuman Anis.

Iman meletakkan buku "Siapa Dia Dihatimu" oleh Ust Pahrol. Dia memang penggemar buku Ustaz Pahrol. Bagi Iman, setiap bicara Ustaz Pahrol dalam bukunya seperti berbicara dengan isi hatinya. Iman memang begitu. Sering mengaitkan dengan sesuatu. Iman teringat sewaktu mesyuarat pimpinan dakwah petang tadi. Dia tidak mengerti kenapa hatinya tersentuh ketika nama itu disebut.
"Ana nak maklumkan dua orang bakal naqib terpaksa dibuang kerana mereka tak bersedia untuk menerima amanah ini. Mereka itu ialah Muhammad Muaz dan Ameer Mukhlis. Ana sudah bertemu dengan mereka dan mereka betul-betul tolak sebab mereka rasa mereka belum layak lagi." Mujahid menerangkan kepada pimpinan semua.
Iman hanya terdiam mendengar penerangan Mujahid. Iman hairan kenapa hatinya berubah ketika nama Ameer Mukhlis disebut oleh Mujahid. Cepat-cepat Iman memohon istighfar.

"Iman, jauh termenung.. dah pecah tembok cina tuh.."Farah cuba mengejutkan Iman dari lamunan.
"Astaghfirullah.. lain kali bagilah salam dulu..nasib baik saya ni tak de sakit jantung kronik." Iman menunjukkan muka geram kepada rakan biliknya yang suka mengusik itu.
"Nurul Iman, saya ni roommate awak. Dari tadi saya duduk kat meja saya tuh. Ni mesti tengah mengelamun pasal Mujahid kan..oppss.. terlepas sudah..hahaha." Farah ketawa dan Iman terus mencubit manja pipi sahabatnya itu.
" Yelah, yelah.. taknak buat dah. Bukan mujahid tapi Mak Jah jual kuih kat café tu kan.." farah cuba berdalih walaupun memang dia suka sangat melihat telatah Iman kalau nama Mujahid disebut.
"Ha'ah, rindu kat karipap Mak Jah.." Iman mencebik mulut kepada Farah.
"Maaf wahai Puteri Nurul Iman. Ana mahu pinjam mouse lah. Entah kenapa mouse tiba-tiba tak boleh guna."
"laa ye ke.. kenapa tak habaq dari tadi. Ambil lah dalam beg laptop atas katil tue." Iman menunjukkan beg laptopnya itu.
"Ok, syukran Iman. Luv u bebeh." Farah memeluk Iman sekuat hatinya.
"Yelah, yelah, saya pun sayangkan awak dunia akhirat. Awak roommate yang terbaik!!" Iman membalas pelukan Farah dan mencubit pipi gebu Farah.

Apa kesudahan Iman
Sekarang Iman sudah berada di semester terakhir. Iman sudah bertambah matang dengan usianya yang sudah menjangkau 23 tahun. Iman telah menolak lamaran Mujahid setahun lepas. Bagi Iman jawapan istikharahnya bukan Mujahid tetapi orang lain. Iman tidak pernah memberitahu sesiapa pun tentang isi hatinya.
Hampir dua tahun lebih Iman memendam perasaannya itu. Baginya mencintai dalam diam itu lebih indah dan terjaga. Tetapi bisakah dia mengetahui...
Keyakinan Iman kepada Allah terlalu tinggi kerana baginya Allah itu sentiasa dihatinya dan hanya Allah sahaja yang layak menentukan siapa pemilik cintanya. Setiap kali berdoa, dia sering berdoa, Ya Allah, seandainya Ameer Mukhlis itu terbaik untuk dirinya dan memberi kebaikan di dunia dan di akhirat, Engkau berilah aku petunjukMu.
Tetapi seandainya Ameer Mukhlis itu bukan yang terbaik, tidak memberi sebarang kebaikan di dunia dan diakhirat, Engkau jauhilah hatinya dan hatiku. Engkau jadilah aku redha menerima ketentuanMu..
Iman tahu di usia sebegini, dia perlu memikirkan soal jodoh. Sahabat-sahabatnya juga ramai yang sudah mendirikan baitul muslim. Iman pernah juga bertanyakan sahabat-sahabat tentang Ameer Mukhlis sudah berpunya atau belum. Ramai yang berkata dia sudah berpunya. Iman tidak tahu kenapa perasaan hatinya kepada Ameer Mukhlis begitu kuat sehinggakan langsung tidak pudar perasaannnya walaupun ramai yang berkata sedemikian. Mungkinkah ini kesannya jika mencintai dalam diam. Iman redha andai itu bukan untuk dirinya.
Setelah mengaminkan doa seusai solat dhuha, tiba-tiba handphone Iman berbunyi..
"Assalamualaikum, Iman apa khabar?" Suara Kak Mariam menyapa Iman dalam telefon.
"Waalaikumussalam, Alhamdulillah..baru je baik daripada demam. Akak sihat? Sejak-sejak akak dah berumah tangga nie, jarang dah kita berhubung.." Iman menunjukkan kesedihan pada Kak Mariam yang baru bergelar zaujah kepada Muaz, rakan sekelas Iman.
Kak Mariam seorang muslimat yang berani. Iman yang menjadi orang tengah untuk menyampaikan hasrat kak Mariam kepada Muaz. Walaupun Kak Mariam tua setahun daripada Muaz, tetapi usia tidak menjadi penghalang seperti mana cinta Rasulullah dan Siti Khadijah. Tidak sangka, Muaz juga menaruh harapan kepada kak Mariam. Selama ini mereka hanya memendam rasa. Hikmah daripada Allah itu terlalu indah.
"Alhamdulillah, akak sihat walafiat. Biasalah Iman, bila sudah bergelar isteri. Tanggunggjawab itu besar sangat. Sebagai isteri dan sebagai seorang da'ieah. Tapi Alhamdulillah, zaujun akak satu fikrah dengan akak. Memudahkan misi dakwah kami. Hmm.. akak ada hajat besar untuk Iman ni.." kak Mariam menyatakan hajatnya kepada Iman.
"Iman pun mengharapkan zaujun satu fikrah dengan Iman. Mungkin Allah tahu Iman belum lagi bersedia menjadi zaujah solehah. Sebab tu, Iman belum lagi menemui pemilik cinta untuk menemani sepanjang perjuangan nie. Akak nak bagitahu hajat apa?" Iman meluahkan isi hatinya kepada Kak Mariam.
" Seorang ikhwah ingin khitbah Iman. Dia menyatakan hasratnya kepada zaujun akak. Akak rasa Iman pun kenal dia."
Hati Iman kelu mendengar. Adakah doanya tadi telah terjawab..
"Siapa akak?" Iman ingin mengetahui siapa gerangannya itu.
"Maaf Iman, dia tidak benarkan akak memberitahu siapa dirinya. Tapi dia nak maklumkan kepada Iman yang minggu depan dia akan pergi ke kampung Iman untuk menghantar rombongan meminang." Kak Mariam menjelaskan kepada Iman hasrat ikhwah tersebut.
"Baiklah, Iman terima dia pergi meminang Iman minggu depan." Iman sendiri tidak tahu kenapa dia yakin dengan lamaran itu.
"Iman jangan risau, dia satu fikrah dengan kita. Insya Allah, akak melihat dia sesuai dengan Iman."
"Insya Allah akak. Iman mengharapkan begitu juga." Hati Iman masih lagi tertanya-tanya siapa dirinya. Mungkinkah.....


~ Bumi Mana Yang Tidak Ditimpa Hujan~

Bersabarlah, hidup ini bukan untuk mengikut kehendak kita tetapi mengikut kehendak Yang Mencipta kita.
"Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku". [surah az-Zariyat:ayat 56]
Takdir yang datang pada kita dan untuk kita pula bukan untuk dipersalahkan, tetapi untuk sentiasa disyukuri setiap apa yang Allah S.W.T. kurniakan. Banyak kali Allah S.W.T. menyebut tentang sesuatu perkara setelah diberikan kepada hamba-Nya lalu Allah S.W.T. berfirman di akhirnya yang bermaksud :
"Mudah-mudahan kamu bersyukur." [al-Hajj: ayat 36]
Sedih dan Berduka
Tidak salah untuk merasa sedih kerana ia suatu perasaan. Tidak salah untuk merasa kecewa kerana itu juga suatu perasaan. Tidak salah juga untuk menangis kerana ia sememangnya jua sebuah luahan perasaan sedih dan kecewa. Perasaan dan luahan yang Allah S.W.T. kurniakan untuk setiap hamba-Nya bagi melengkapkan kesempurnaan ciptaan makhluk-Nya dan untuk menterjemahkan rasa cinta dan kasih sayang Allah S.W.T. buat hamba-hamba-Nya.
Namun yang menjadi salahnya apabila manusia melebih-lebihkan kesedihan itu dengan menyalahkan takdir, lalu melakukan perkara-perkara yang menyalahi fitrah. Bunuh diri, makan pil tidur melebihi dos, minum arak, memaki hamun orang lain, menyebar fitnah dan sebagainya.
Itu semua tidak Allah S.W.T. sukai dan redhai. Tapi apa yang Allah S.W.T. suka? Lihatlah apa yang Allah S.W.T. firmankan yang bermaksud :
"Orang yang apabila ditimpa musibah lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami milik Allah S.W.T. dan kepada-Nya kami kembali." [surah al-Baqarah: ayat 156]
Siapakah yang mampu mengucapkan ucapan seperti ini melainkan hamba-hamba yang sabar dan redha dengan takdir Allah S.W.T. lalu menyerahkan diri hanya kepada-Nya. Ya, Allah S.W.T. suka orang-orang yang sabar. Sabar, sabar, dan sabar.
Takdir Untuk Kita
Kadang-kadang kita rasa apa yang Allah S.W.T. takdirkan itu buruk untuk kita sampai kita menangis dan terlalu kecewa, tetapi hakikatnya tidak begitu. Allah S.W.T. sayangkan kita. Allah S.W.T. tidak berkehendak kita jatuh ke tempat yang tidak baik.
Cuba kita teliti jalan-jalan yang pernah kita lalui dahulu, kadang-kadang ada kehendak yang kita tidak dapat penuhi lantaran tidak mendapat keizinan, dikecewakan, ditipu dan sebagainya. Selaklah kembali kisah-kisah selepas kejadian memilukan tersebut, tentu ada kebaikan yang tersingkap lalu kita mengucap 'Alhamdulillah', 'nasib baik', 'kalau tak' dan ucapan yang seumpama dengannya.
Semua itu adalah hikmah, hikmah dari Allah S.W.T. yang tersembunyi ketika berlaku musibah pada kita, kemudian terzahir beberapa waktu andai kita duduk berfikir. Semua itu untuk kita lebih mensyukuri setiap nikmat yang ada di depan mata kita dan menjadi hamba yang 'Syakura' (banyak bersyukur).
Benarlah seorang murabbi selalu mengatakan, Allah S.W.T. tidak pernah mahukan yang buruk-buruk buat hamba-Nya. Cuma untuk beberapa perkara yang perlu kita lalui di atas muka bumi ini, ia bergilir-gilir dengan perkara kebaikan dan keburukan.
Allah S.W.T. memberi kita peluang untuk membuat pilihan sama ada hendak berbuat baik atau berbuat jahat. Pilihlah mana satu kata hati dan kehendak kita.
Tapi ingat, natijah dan kesan untuk keduanya berbeza.
Jangan ditanya kenapa Allah S.W.T. cipta Neraka kalau Allah S.W.T. sayangkan hamba-Nya? Sebab Allah S.W.T. sudah memberi pilihan di dunia dan setiap pilihan berbeza kesan kehidupan di akhirat. Bermakna jika seseorang memilih untuk berbuat kejahatan, maka dia masuk ke dalam Neraka adalah untuk pilihannya sendiri bukan kerana takdir Allah S.W.T.. Manakala jika seseorang berbuat kebaikan lalu masuk Syurga, itu juga atas pilihannya tetapi di atas rahmat Allah S.W.T..
La Tahzan
Akhir kata, janganlah bersedih pada ujian yang menimpa. Bukan hanya kita yang merasa, orang lain juga lebih teruk menderita. Seperti para Rasul dan sahabat menderita, lebih dalam dan jurang ujiannya. Namun dengan ujian itu mereka bersabar lalu diangkat darjat mereka.
Mudah-mudahan Allah S.W.T. kurniakan kesabaran buat kita berpanjangan. Ameen ya Rabb.
'Bumi mana yang tidak pernah disirami hujan, kerana dengan hujan itu suburlah dan indahlah bumi.
'Manusia mana yang tidak pernah ditimpa ujian, kerana dengan ujian itulah semakin subur iman dan keyakinan insan pada Tuhan.'
Allahu a'lam..

~ Jauhkan rindu~

Bila rindu kembali menjengah,
Menyusup datang melalui sekeping gambar,
Begitu terasa bibirku bergetar,
Begitu terasa kakiku makin longlai.
Ku lihat pada jari-jemariku,
Menggigil dalam bahang tengah hari,
Ku sentuh pada bibirku,
kering mengelupas,
Ku letakkan tangan pada dadaku,
Degupannya menjadi deras.
Ku lihat wajahku dalam refleksi,
Warnanya pucat membiru,
Tiada kilauan dalam mata,
Tiada cahaya pada wajah.
Hanya kelesuan jelas kelihatan.
Yang lain menggelar rasa ini 'cinta',
Lalu mereka hairan aku menolak 'cinta',
Tapi aku pasti ianya adalah 'petaka' ,
kerana rindu ini rindu yang memusnahkan,
Rindu ini rindu yang mencemarkan,
Kerana rindu ini rindu yang tidak halal untukku,
Kerana rindu ini boleh mengundang dosa.
Dahulu,
Jika rindu yang sama bertandang,
Akulah insan paling bahagia.

Kini,
Jika  rindu yang sama bertamu,
Akulah insan paling sengsara.
Aku tak mahukan rasa ini,
Aku tak mahukan rindu ini.
Rindu ini yang dahulu telah melalaikanku dari mengingati-Mu,
Rindu ini yang dahulu menghalangku dari kemanisan beribadat kepada-Mu,
Rindu ini yang dahulu membutakan mataku  dari melihat jalan-Mu,
Rindu ini yang dahulu membinasakan cinta suci hamba-Mu.
Rabbi,
Jangan kau benarkan rindu ini menggigitku,
kerna aku takut dihinggapi virus cinta buta.
Rabbi,
Jangan kau biarkan rindu ini menghantuiku,
kerna aku takut pada bayangannya,
Kerna ku tahu jatuh cinta itu,
Hanya bisa pada Tuhan,
Kerna ku tahu nafsu ini,
Sering membawa ke arah kejahatan,
Yang datang dari godaan syaitan.
Rabbi,
Ku mohon,
Jauhkanlah aku dari 'petaka' rindu ini,
Hadirkanlah aku pada cinta-Mu,
Cinta yang kekal dan abadi.


~ 10 Petanda Dia Jodoh Kita~

Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3. Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

~ Adakah ini cinta ~

Mungkin ramai antara kita pernah bercinta, merasai asyiknya cinta itu dan tenggelam di dalam kemabukannya. Malah Syed Qutb, Abu talhah serta Hasan Al-Basri pernah menyintai seorang perempuan sebelum pernikahan mereka. Selain dari itu, Khadijah r.a juga mempunyai rasa suka kepada Rasulullah sebelum peminangan beliau pada baginda.
Dan sungguh cinta itu tidak pernah salah. Malah ia memberi cahaya kehidupan dan harapan yang melestarikan nafas yang panjang pada dunia yang mencabar ini.
Namun diri kita tahu akan kelemahan diri kita. Kita tahu di mana tempatnya kita bakal jatuh, jika kita kurang berhati-hati.
Seperti itu jugalah kebanyakan wanita, kita amat mudah menyintai dan menyayangi manusia lainnya. Hati kita dipenuhi cinta dan sayang. Terkadang mampu dikawal, terkadang mencengkam dan memakan diri kita sendiri.
Dan kita tahu di situlah kelemahan kita. Apabila diberikan kepada yang belum haq, kita akan tenggelam dalam keasyikan yang merudum jiwanya. Cinta yang ditakuti takkan sampai ke penghujungnya. Cinta yang mencemari cinta kita kepada Rabb kita. Dan ditakuti kita akan sesat dalam kegelapan akibat cinta yang asyik itu.
Dan kerana itu cinta ini disimpan rapi, hanya untuk dimiliki yang hak dan berhak sahaja. Bukan kerana kita membenci cinta itu. Bukan menolak mereka yang menyintai kita. Tapi kerana kita tahu di mana titik lemah kita. Dan cinta itu kita simpan sekedapnya, agar siapa sahaja yang kita berikan cinta itu, biarlah cinta itu hanyalah kerana Allah semata-mata.
'saya takut kalau saya menyayangi seseorang, orang itu akan lebih menyayangi saya dari saya menyayangi dia. dan itu pernah berlaku pada saya.'
Padaku ucapan itu mungkin bernada agak perasan, namun aku tahu dari lubuk hatinya, itu merupakan ucapan yang tulus.
'tapi saya isteri awak, tentu saya perlu sayang pada awak.'
'betul, tapi saya takut awak akan rasa kecewa di kemudian hari, jika apa2 yang berlaku pada kita.'
Suara hati nakalku berkata, 'takpe, saya akan jadikan awak sayang saya lebih dari saya sayang awak, baru awak tahu!'
Namun aku menjawab, 'tak apa, bukankah kita ada Allah. Apapun yang berlaku dalam hidup kita, kita ada Dia untuk kita mengadu akan keadaan itu.'
Ketika aku menyalami tangannya, aku tenang melihat dirinya pergi. Namun fikiranku tetap memikirkan akan dirinya yang aku temui cuma acap kali sahaja dalam masa beberapa minggu.
Dan ketika aku pulang ke bandar beku dan sejuk ini, aku teringat suasana hiruk pikuk dan siren ambulans yang berkumandang setiap 10 minit di kota London. Asap dan enjin kereta yang mampat mungkin menjadikan udara di bandar kosmopolitan itu berhawa tinggi dan sering mengundang peluh di bajuku.
Sudah tentu kenangan bersama dia takkan dapat aku lupakan.
Setiap kali kembali setelah bertemu dengannya pasti aku akan teringatkan perbualan-perbualan yang kami lalui bersama. Pertama kali dalam hidupku, aku begitu dekat dengan jiwa seorang lelaki bergelar suamiku.
Dan aku tahu di saat itu, aku telah mula menyintai dirinya. Mahu membantu dirinya sepanjang hidupku. Mahu menjadi sayap pejuangnya walaupun mungkin aku dan dia bukanlah pasangan yang sempurna di dunia ini. Banyak ujian melanda. Dan sungguh setiap kisah-kisah pasangan baru berkahwin adalah berbeza sekali. Namun di sebalik ujian itu, ada kemanisan setiap kali cabaran itu dapat dilepasi.
Adakah dapat aku sembunyikan rahsia hati ini, menjadikan dia lebih menyintai diriku dari diriku menyintainya?
Namun tentu bukan itu matlamatku dalam perkahwinan ini. Perkahwinan ini adalah ibadah. Cintaku padanya adalah suatu ibadah. Aku menyintainya kerana Allah dan aku berasa amat tenang dengan cinta itu. Cinta yang menjadikan aku sentiasa berhubung dengan Allah di saat susah dan senang menghadapi bahtera rumah tangga ini.
Satu anggapan yang salah, seorang ukht berkahwin dengan seorang akh untuk mendapatkan kekuatan dari pasangannya. Ya, sebahagiannya betul, namun hakikatnya, ujian kehidupan pasti melanda setiap seorang dari kita. Kerana itu, peribadi kita sendiri perlu kuat. Hubungan kita dengan Allah perlu amat mantap.Terkadang pasangan kitalah yang perlu dibantu, bukan kita yang dibantu.
Tentu dalam berBaitul Muslim sendiri ada pasang surutnya. Namun yang menyatukan dua hati manusia yang asing ini adalah Allah. Apabila keduanya kembali semula pada Allah dan meminta petunjuk dariNya.
Dahulu aku takut tenggelam dengan cinta. Cinta sesama akhawat sendiri menyebabkan air mataku kering kerana banjirannya. Namun ketika akad tertahkik, cinta yang kurasai ini, ibarat hujan yang turun secara tenang dan damai, membasahi tanah sahara yang kekontangan. Menyimbahi tumbuhan yang kekeringan. Ia memberi sinar di pagi hari, menyuluh kegelapan di waktu malam.
Dan aku tidak katakan cintaku pada dakwah, pada Allah, dan pada akhawat berkurang kerana aku menyintai seorang lelaki yang Allah jodohkan buatku. Malah cinta itu bertambah, menolak motivasi dan melimpah ruah. Kerana cinta itu terlalu istimewa. Ia boleh meletakkan jiwa kita di tempat teratas, atau menjadikan kita manusia yang amat hina sekali.
Aku tidak mengatakan cinta itu salah sebelum perkahwinan. Cuma kelemahan aku sendiri, aku pasti, jika cinta itu sebelum terjadinya akad, pasti aku akan menjadi manusia yang hina di sisi Allah. Kerana aku tahu, ketika pintu hatiku terbuka untuk sebuah cinta, limpahannya akan mengairi seluruh lautan yang wujud di muka bumi ini.
Tentu pernah kita dengar, sesorang wanita sanggup membuat apa sahaja kerana cinta, menyerahkan tubuh, menjual harta, hanya kerana seorang lelaki yang belum menjadi miliknya.
Dan indahnya cinta itu apabila ianya diberikan buat yang hak. Kerana ia sentiasa diiringi doa dan barakah. Tentu banyak rahsia Allah yang tidak kita ketahui dalam hidup ini. tentu akhir perjalanan kita takkan kita ketahui akhirnya.  Namun kita sentiasa perlu positif, meraih yang terbaik dalam hidup kita, dan memaknai setiap kenikmatan dan kebahagiaan yang Allah rezekikan untuk kita.
Alangkah indahnya bila segalanya kerana Allah. Bercinta pun dapat pahala!
"Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?" Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya." - (HR:Ibnu Majah)
Rasulullah bersabda lagi:
"Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia, tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki keatas wanita."

~ Artikel Iluvislam~

~ Demi Cinta Allah~

Dia ingin berubah. Dia ingin jadi seperti dahulu. Sentiasa mengingati Allah, sentiasa takut akan azab-Nya, sentiasa taat pada perintahn-Nya, dan sentiasa jaga batas pergaulan. Dia yakin dan percaya, perempuan yang dijaga oleh Allah, pasti tidak akan membenarkan mana-mana tangan lelaki menyentuh dirinya.
Namun, takala dia merasakan dirinya cukup bahagia dengan hidayah Allah, Allah menguji dirinya. Allah menghadirkan dirinya dengan seorang lelaki yang menuntut balasan cinta. Dirinya dimewahkan dengan kata-kata pujian, dengan gurindam rindu dan madah-madah cinta yang sebelum ini tidak pernah meneroka hati dan jiwanya.
Dia percaya cinta dari Allah, tapi dia lupa itu bukan caranya. Dia alpa. Hatinya sudah tidak seperti dahulu. Hatinya dilimpahi rasa rindu si jejaka. Rindu si nafsu yang mengwar-warkan kemanisan cinta manusia. Bukan dia tidak sedar dia sudah berubah, bukan juga dia tidak sedar bahawa ketenangan hati yang pernah dianugerahkan oleh Allah semakin menjauhi. Dia menutup kesedaran itu dengan janji dan kata-kata cinta si jejaka.
Dia sudah jauh dari hidayah Allah. Imannya rapuh, syaitan menari-nari tatkala dia membenarkan tangan rakus si jejaka menyentuh dirinya bersama alunan syahdu janji kekasih. Tempat yang sepatutnya dia jaga, didedahkan. Kononnya yakin si jejaka adalah suaminya.
Tidakkah dia takut dengan dosa atau dengan azab Allah?. Ya, dia sedar tetapi separa sedar. Rasa sayangnya pada jejaka itu mulai melebihi segalanya. Namun, syukur pada Allah, Allah masih sayang padanya. Jejaka itu gagal menawan mahkota dirinya. Saat dirinya berutus cinta, dia masih lagi solat, dia tidak lupa tanggungjawabnya. Namun mungkin solatnya masih tidak sempurna lalu robohlah benteng imannya dipukul ombak nafsu cinta manusia.
Allamdullilah. Allah menurunkan hidayah pada dirinya. Di saat jejaka menyepikan diri seketika, dirinya dilanda rasa berdosa. Mengingati kembali dosa-dosa yang dilakukan, mengalir air mata kekesalan. Disaksikan kegelapan malam, dia bangun untuk bersolat taubat. Menangislah dirinya sepuas-puasnya. Dia memohon petunjuk pada Allah, dia ingin kembali, kembali atas cinta. Demi cinta Allah yang tidak pernah berpaling dari hidupnya dia nekad untuk berubah. Namun hatinya sedikit takut akan janji Allah.
"Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitu sebaliknya."
Apa yang patut dia lakukan kini. Dia mula merasakan dia bukan dari kalangan wanita yang baik-baik. Tidak layak untuk sesiapa. Dia menutup pintu hatinya seketika dari cinta manusia yang bernafsu yang mengeruhkan kolam keimanannya yang pasang surut. Sehingga ditakdirkan Allah untuk dirinya bertemu dengan seseorang yang mencintainya kerana Allah.
"Demi cinta Allah yang ku kejar, kuatkan hatiku untuk bertahan, berikan ku kecerdasan akal untuk sentiasa berfikir tentang kuasaMu, hulurkan pertolonganMu di saat-saat aku hampir tewas, sinarkan nur hidayahMu untuk aku terus di jalanMu. Ya Allah! Aku memohon keampunan kepadaMu."


~ Indikasi Cinta Milik Siapa~

Cinta Melahirkan Rindu
Bayangkan kita seorang pelajar yang jauh dari dakapan keluarga, sudah pasti rasa rindu akan timbul dikala terkenangkan mereka. Bahkan tangisan kerinduan mampu mengalir kerana rindunya kita kepada mereka.
Bayangkan pula kita seorang suami, sudah pasti merindui si isteri jika lama ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi si isteri, yang lembut hatinya menangisi perasaan rindu yang bermain di hati.
Begitu juga anak muda yang dikaburi dengan kerinduan kepada kekasihnya, sehingga tidur tak lena, makan tak selera, mandi tak basah, solat tak khusyuk (kalau solat), hidup bagai tidak menentu.
Bayangkan pula kita sebagai ibu bapa, sudah tentu merindui gelagat anak-anak yang kita sayangi. Anak-anak yang jauh dari pandangan sentiasa bermain di fikiran kita, sentiasa memikirkan keselamatan mereka, sentiasa memikir kebahagian mereka, dan yang pasti sentiasa merindui untuk ketemu mereka.
Mengapakah rasa rindu mampu muncul di hati sanubari kita?
Cinta. Ya, Kerana cinta.
Cinta yang melahirkan rasa rindu, kerana kerinduan tidak akan lahir tanpa ada kuasa cinta yang mengikatnya.
Inilah ketenangan yang pasti menghiasi hati kita ketika mengingati sesuatu yang kita cintai. Apatah lagi ketika mendapat tahu kita bakal menjumpainya, bahkan jika couple sekarang, cukup hanya terdengar nama si dia, terus tergetar hatinya.
Apabila terus menerus diingatkan tentang sesuatu yang kita cinta, rasa cinta dan rindu akan terus bercambah dan makin kukuh.
Persoalannya disini, jika teringat ibu bapa, anak-anak, suami atau isteri, kekasih hati, mengapa kerinduan mampu timbul dan kebahagiaan kononnya dirasai?
Sedangkan ketika kita menjauh dari Allah Ar-Rahim, tiada pun rasa rindu seperti rindu kita pada lainnya?
Adakah kita lebih merindui sesuatu yang lain selain Allah?
Ketika mendengar ibu dan ayah akan datang menziarah kita, atau mendengar suami atau isteri sudah ingin pulang, mengapa terasa bahagia sungguh mengenainya.
Sedangkan ketika nama Allah yang dilaungkan tidak terasa apa-apa di hati kita, ketika perkara mengenai Allah disampaikan juga seperti ianya berlalu begitu sahaja, ketika kita mendengar ayat-ayat dari-Nya, tidak bertambah rasa cinta dan rindu kepada-Nya?
Namun, bila cinta yang lain datang menyapa, makin bertambah rasa cinta dan rindu di hati kita?
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." - [QS Al-Anfal, 8:2]
Muhasabah Cintamu....
Tangisan Kerana Cinta
Berapa ramai antara kita bersedih dan menangis ketika kita makin jauh dari ibu dan ayah, menangis ketika anak-anak makin jauh dari kita, menangis ketika meninggalkan keluarga kita, menangis ketika kehilangan sesuatu barang yang dicintai, menangis ketika wang ringgit kita makin berkurang, ketika harta dan perniagaan makin merugi, bahkan banyak lagi kepentingan dalam kehidupan kita yang kita menangis tatkala ia makin menjauh.
"Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan." - [QS Al-Fajr, 89:20]
Namun, pernah tidak kita menangis kerana kehilangan cinta Allah, menangis ketika mengingati Allah, menangis ketika membaca ayat-Nya, menangis ketika makin menjauh dari Allah, menangis ketika bermaksiat dihadapan Allah, menangis ketika tidak mampu berkorban untuk Allah dan menangis kerana merindui Allah?
Tidakkah kita merasa hina kerana lebih sanggup menangisi sesuatu keadaan atau perkara, namun bila mengenai Allah kita tidak mampu menangis? Adakah cinta kita kepada yang selain dari Allah melebihi dari tahap cinta yang digariskan Allah?
Katakanlah: "Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuwatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." "Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." - [QS At-Taubah, 9:24]
Cukuplah mencintai sesuatu yang lain melebihi cinta kita kepada Allah, Rasul dan Jihad.
Sedarlah cinta kita milik siapa yang paling utama. Bukan kepentingan kita, keluarga kita, kerjaya kita, kenderaan kita, rumah kita, masa rehat kita, tenaga kita dan harta kita, lebih kita pentingkan sehingga mengorbankan kepentingan cinta kepada Allah, Rasul dan Jihad.
Kita wajib berkorban demi kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad, bukan mengorbankan kepentingan cinta Allah, Rasul dan Jihad untuk kepentingan yang lainnya. Berkorbanlah demi cinta-Nya.
Tangisan cinta yang paling utama milik Allah, usahakan tangisan kerana Allah lebih kita utamakan berbanding tangisan kerana ciptaan-Nya. Seperti para sahabat yang bercucur air matanya tatkala tidak dapat berjuang, berjihad di jalan Allah.
"Dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, lalu kamu berkata: "Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu" lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata karena kesedihan.." - [QS At-Taubah, 9:92]
Inilah tangisan yang sepatutnya, menangis ketika tertinggal tahajjud kita, dhuha dan quran kita, menangis ketika tidak dapat berkorban masa dan tenaga kerana Allah, menangis ketika cinta kita dirampas selain cinta kepada Allah.
Muhasabah Cintamu...
Kebahagian dan Ketenangan Cinta
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." - [QS Ar-Ra'd, 13:28]
Inilah kebahagian dan ketenangan yang sepatutnya, jangan sampai hati kita lebih tenang ketika mengingat selain dari Allah.
Ramai antara kita lebih bahagia dan tenang ketika mengingati keluarga, harta kekayaan, kerjaya, pujian dan sanjungan manusia.
Takutlah hati itu sudah dikotori, sudah dinodai dengan kebahagian lain yang tidak hakiki, yang pada pandangan manusia dan dunia pasti membahagiakan, namun pandangan Allah itu lebih utama.
Kebahagian dan ketenangan sebenar hanya akan hadir bila kita mendekati Allah.
Kepekaan hati kita mungkin sudah makin cair ditelan arus keduniaan. Kekadang dosa yang dilakukan dianggap hanya seperti lalat yang singgah dan mampu hilang hanya dengan dikuis begitu sahaja, sedangkan kita seharusnya menganggap dosa dan maksiat itu laksana gunung yang bakal menghempap kita ketika melakukannya, laksana gunung berapi yang bakal membakar kita.
Inilah kepekaan hati yang perlu kita asah bersama, hatta dosa kecil itu lebih kita takuti.
"Dosa kecil lebih aku takuti dari dosa besar kerana ia tidak dapat dirasa kerana kekecilannya." - (Ibn Qayyim)
Jangan turuti hawa nafsu yang mengundang kepada dosa dan maksiat, yang mengundang kepada futurnya cinta utama dan yang akhirnya menumpulkan hati kita.
"Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka." - [QS Muhammad, 47:16]
Indikasi Cinta Milik Siapa
Setelah bersama menghayati rindu dan tangisan kerana kecintaan. Mari tepuk dada, tanya iman. Siapa sebenarnya cinta paling utama?
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakdan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)." - [QS Al-Imran, 3:14]
Adakah manusia lebih kita cintai dari Allah?
Adakah harta lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kerjaya lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kehidupan dunia lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kenderaan dan kediaman lebih kita cintai dari Allah?
Adakah keseronokan hiburan lebih kita cintai dari Allah?
Adakah kenyamanan tidur lebih kita cintai dari Allah?
Adakah waktu rehat kita lebih dicintai dari Allah?
Apa yang paling kita rindu bila kehilangannya?
Ke mana tangisan kita sering dicucurkan?
Inilah indikasi cinta kita milik siapa.
Ayuh ikhwah dan akhwat sekalian, tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa hadapan.
Tanamlah azam dan kesungguhan kearah yang lebih baik dan sentiasalah tingkatkan ia.
Jadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan usahakan esok hari agar lebih baik dari hari ini.
Mari muhasabah cinta kita bersama, letakkan kepentingan cinta yang lebih utama, nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita perlu dicintai, tapi yang perlu dicintai adalah cinta kita kepada Pemberi Nikmat yang lebih utama.
Muhasabah Cintamu...

Thursday, April 28, 2011

~ Futuwwah Cinta~

Inilah dia cinta
Pak Rahmat mengatakan, cinta itu dakwah, dan dakwah itu cinta.
Dan dakwah ini mengenal kita pada Dia.
Mentaqarrubkan kita pada Dia.

Masuliyah fardhiyah kita adalah untuk sentiasa mendampingi kitabNya, mengikuti sunnahNya dan beriltizam dengan akhlak QuraniNya.

Dan seluruhnya dibuatkan kerana Dia.
Dan Dia semata.
Dan itulah dia cinta.
Bila segalanya dihadapkan pada Dia.
Dan cinta itu mengalunkan kita pada syahadahNya
Menerokai puncak-puncak kekuasaanNya,
dan mengegarkan kita akan azabNya,
akan kelam kelibut hari kebangkitan.
Mengetarkan hati kita pada Hari AkhiratNya.
Dan itulah dakwah ini mengenalkan kita.
Akan hari akhirat yang pasti, tempat terdorongnya kita untuk bertemu dengan Dia.
Dan bila segalanya dipusatkan pada Dia, adakah pilihan lain selain dari bertawakal kepadaNya?
Menyerahkan semua urusan kepadaNya?
Yakin akan janjiNya memberikan sesuatu yang terbaik buat diri kita, hambaNya.
Dan demikianlah itu cinta.
ianya yakin
redha
dan saliim..
Cinta itu menautkan hati kita pada semua hambaNya.
Dalam cinta yang tidak dimengertikan
walau tak pernah bersua
mengenal
mahupun bersentuh
itulah dia cinta
anugerah atas cinta keranaNya
Dan itulah dia cinta,
tidak meresahkan,
tidak mengelisahkan
tidak merisaukan,
apatah lagi menyebabkan putus asa.
Kerana setiap pilihan kita,
tindakan kita
dan langkah kita,
adalah demi cintaNya.
Yakinlah,
Allah akan sentiasa bersama kita,
melukiskan kanvas yang indah buat kita.
Samada di dunia, mahupun di syurga kelak..
Insya-Allah..
Inilah dia sepotong doa baginda buat kita:
Ya Allah, kurniakalah perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan.
Moga aku menyintai mereka yang mendekatkan aku akan cintaNya... ameen...