Saturday, May 7, 2011

~ Selamat Hari Ibu~



Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah..setinggi-tinggi kesyukuran ana panjatkan ke hadrat Illahi kerana dengan limpah izinNya dapat jua ana mencoret bicara sempena Hari Ibu...

Buat ibundaku yang tercinta,Selamat Hari Ibu..Kakak sayang sangat dekat mak...Walau apa pun yang terjadi, mak is the best mom for me.. Thank u very much for everything..Mak,hanya Allah yang mampu membalas segala jasa mak buat kita sekeluarga..Semoga kebahagiaan yang kita bina akan tetap utuh dalam mengejar keredhaan Allah.. Insyaallah..

Mak,kakak cuba menjadi anak yang solehah buat mak dan ayah.. Kakak sedaya upaya ingin menggembirakan keluarga kita..Insyaallah selagi kakak bernafas di muka bumi ini,akak akan cuba membuat yang terbaik..
Insyaallah..Kakak tidak akan mensia-siakan mak dan ayah.. Mak dan ayah adalah permata yang akak ada..

Khas buat mak cik Zainab,Selamat Hari Ibu..Semoga Allah memberikan sinar kebahagiaan buat mak cik sekeluarga.. Ana di sini sentiasa mendoakan mak cik sekeluarga...Maafkan ana jikalau ada tutur bicara atau perlakuan yang ana lakukan mengguris rasa hati mak cik selama ini..

Buat para ibu,ana dengan rendah diri ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu..Jasa kalian amat dihargai..Semoga kedatangan Hari Ibu ini akan memberi seribu erti buat ibu-ibu..

Salam Hari Ibu..



~ 20 Amalan Murah Rezeki~

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah S.W.T. melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah S.W.T. memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
Di antaranya:
01.Menyempatkan diri beribadah
Allah S.W.T. tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." – [Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.]
02.Memperbanyakkan istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah S.W.T., yang menjadi sebab Allah S.W.T. jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi S.A.W.:
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." – [Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a]
03.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah S.W.T.jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.:
"... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." – [Riwayat at-Tirmizi]
04.Sentiasa ingat Allah S.W.T.
Banyak ingat Allah S.W.T. buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah S.W.T.beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah S.W.T.. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah S.W.T.hati menjadi tenteram." [Ar-Ra'd: 28]
05.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga bersabda:
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T.akan memanjangkan umurnya." – [Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim]
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:
"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya." – [Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami]
06.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi S.A.W.:
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." – [Riwayat Bukhari]
07.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T. lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan menunaikan hajatnya" – [Riwayat Muslim]
08.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.
09. Banyakkan berbuat kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."
10.Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11.Menjalinkan silaturrahim
Nabi S.A.W. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." – [Riwayat Bukhari]
12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T.. Baginda S.A.W. bersabda:
"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah S.W.T. akan memurahkan rezeki." – [Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid]
13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah S.W.T. dan menjadi sebab Allah S.W.T. buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah S.W.T. membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah S.W.T. menyedikitkan baginya." – [Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.]
14.Melazimi solat malam (tahajjud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T..
15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." – [Riwayat al-Hakim dan Thabrani]
16.Bersyukur kepada Allah S.W.T.
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." – [Ibrahim: 7]
Firman-Nya lagi:
"... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." – [Ali Imran: 145]
17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T. melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki.
Selain itu, salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah S.W.T., bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim."
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.
18.Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T., penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19.Berikhtiar sehabisnya
Siapa yang berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – [Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim]
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.
Misalnya, jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak mendapat anak yang baik dididiknya sejak anak itu di dalam rahim lagi, jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan makanan yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20.Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T. seperti firman-Nya:
"Barang siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah S.W.T. mencukupkan (keperluannya)." – [At-Talaq: 3]
Nabi S.A.W. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah S.W.T.dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." – [Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.]
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa.
Dengan takwa, Allah S.W.T. akan memberi "... jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." – [At-Talaq: 2-3]
Pendek kata, bagi orang Islam.. untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenar, kuncinya adalah dengan melaksanakan amalan-amalan takwa.
Amalan-amalan ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah S.W.T., lalu Allah S.W.T. pasti melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Insya-Allah.

~ Cinta Sejati Seorang Ibu~

Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair.
Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat. Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam.
Beliau mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua umat Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka berkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.
Nasihat Khansa kepada anak-anaknya, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung."
Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insyaAllah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga.
Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. InsyaAllah akan kita buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian dia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api dia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang. Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang. Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri. Dapatkan kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal. Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu.
Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lainnya.
Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega.
Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengaharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada' yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid.

Tuesday, May 3, 2011

~ Buat Gadis Kesayanganku~

Gadisku... sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang. 
Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu.
Namun...tidak semua bunga senang untuk didekati oleh sang kumbang lantaran duri yang memagari diri, umpama mawar merah, dari kejauhan sudah terhidu akan keharumannya serta panahan warnanya yang terserlah indah mengundang kekaguman kepada sang kumbang.. tapi awas.. duri yang melingkari dirinya bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.
Gadisku...
Aku suka sekirannya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahadah. Bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan rasa keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah. 
Hiasilah wajahmu dengan titisan wudhuk. Ingatlah bahawa cirri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya. 
Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah...umpama sebutir permata yang didedahkan untuk perhatian umum dengan permata yang diletakkan dalam satu bekas yang tertutup...sudah pasti keinginan diri kuat untuk melihat permata yang tersembunyi rapi tentulah melebihi daripada yang terdedah.
Wanita solehah yang taat dan patuh kepada Al-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam.
Namun, segalanya memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi kerana bertentangan dengan nafsu serakah yang bersarang di dalam dirimu lebih-lebih lagi 'title' gadis yang engkau miliki, sudah pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada.
Namun ingatlah gadisku, sesiapa yang inginkan kebaikan maka Allah pasti akan memudahkan baginya jalan-jalan kearah itu. Yang paling penting gadisku engkau mestilah mempunyai azam, usaha dan istiqamah.
Gadisku...
Akuilah dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki. Seandainya pakaian malumu kau tanggal dari tubuhmu maka sudah tidak ada lagi perisai yang dapat membentengimu.
Sesungguhnya Nabi S.A.W ada mengatakan tentang bahaya dirimu "Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca daripada wanita".
Oleh itu gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Jangan biarkan orang lain mengeksploitasi dirimu untuk kepentingan tertentu.
Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam, kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bisa menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tanganmu.
Gadisku...
Dalam hidupmu engkau pastinya ingin disayangi dan menyayangi, itulah fitrah semulajadi setiap insan, namun ramai antara kaummu yang tewas kerana cinta.
Bercinta itu tidak salah, tetapi memuja cinta itu yang salah. Ini kerana disebabkan cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta juga maruah tergadai.
Gejala murtad serta keruntuhan moral muda-mudi sebahagian besarnya kerana cinta. Benarlah sabda Rasullullah S.A.W yang membawa maksud "Sesungguhnya cinta itu buta". 
Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan batil jika engkau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu dan bukan kerana Allah S.W.T.
Sebelum engkau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu, mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik, yang berasal daripada setitis air yang tidak beharga lalu mengalami proses pembentukan yang direncanakan oleh Allah S.W.T. 
Semoga itu mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan timbul rasa cinta dan kasih kepada Penciptamu.
Gadisku...
Menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta hakiki dan abadi kerana hati yang pecah dan retak apabila diberikan kepada makhluk pastinya akan bertambah retak dan terburai.
Tetapi, apabila hatimu diserah kepada Allah sudah pasti akan bertaut kembali.
Dalam usia mudamu, sibukkanlah diri dengan ilmu yang mampu menajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslimahmu.
Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan tidak mampu bertapak dalam hati orang yang melakukan maksiat.
Akhir kalam, terimalah kata-kata seorang ahli sufi iaitu Rabiatul Adawiyah sebagai renungan bersama.
"Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kabahagian yang hakiki untuk seorang insan dan ia tidak kekal abadi kerana manusia itu sering membuatkan seseorang kecewa, gagal, merasa terseksa.
Oleh itu, tiada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagian dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada pencipta manusia itu sendiri..."



~ Jendela Usia ~

Tuhan,
Pada-Mu aku pasrah
Akur, alah dan menyerah
Seluruhnya sudah pudar
Cintaku kian tercalar
Tuhan
Senjaku semakin dekat
Di sumur dosa aku melarat
Di hujung umur ku pasti kembali
Sedang hatiku tak suci lagi
Tuhan
Langkahku entahkan mati
Mendaki kasihMu nan tinggi
Namun cintaku bukan palsu
Walaupun sering terganggu
Tuhan
Kekadang terasa sayang-Mu
Bersama kurnia hidayah
Kekadang terasa murka-Mu
Seiring patahnya mujahadah
Tuhan,
Terlerai ribuan taubatku
Terungai semua janjiku
Kataku sering mungkir
CintaMu sering terpinggir
Tuhan,
Aku masih setia
Mengemis di jendela usia
Terus mencari wajah diri
Menadah keampunan Ilahi!