Wednesday, January 9, 2013

~ Coret-Coret Kehidupan ~



 

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi kerana kita masih dipertemukan di alam maya ini. Walaupun kita tidak pernah bersua muka,namun itu bukan satu halangan untuk kita semua menjalinkan ukhuwwah kerana-Nya... Segala puji-pujian ke hadrat Illahi dan salam rindu buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Sekian lama ana tidak mengemaskini blog ana ini. Sekarang ana sibuk dengan minggu peperiksaan. Alhamdulillah ana sudah menjawab satu kertas peperiksaan. Ana mencuri sedikit masa untuk mengemaskini blog ana yang sudah lama bersawang. Hidup ini bagaikan roda sekejap di atas dan sekejap di bawah. Rutin manusia yang Allah berikan agar kita lebih menghargai kehidupan kita. Kita perlu melihat ujian dan dugaan yang Allah berikan kepada kita daripada sudut positif. Setiap apa yang Allah beri itu ada hikmah yang terhijab dan yakinlah setiap apa yang berlaku itu adalah yang terbaik untuk kita.

Ana akui ana sering diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan namun ana syukuri dengan setiap apa yang berlaku. Apa yang berlaku adalah terbaik yang Allah letakkan dan berikan kepada kita. Walaupun kita menangis dan berduka,namun ada pelangi indah yang muncul setelah hujan turun membasahi kita. Allah tidak akan membebankan kita dengan apa yang tidak mampu kita tanggung. Kita perlu redha dan banyakkan bersabar dengan apa yang berlaku.. Allah amat mengasihi orang yang sabar. Bukan mudah untuk mengaplikasikan sabar tatkala ribut taufan datang melanda tetapi apabila kita ikhlas dan yakin dengan Allah, bahagia akan datang menyapa kita.  Sabar dengan kesedihan,kedukaan,kesakitan memang perit namun kita akan berasa lega dan bahagia apabila kita melihat daripada aspek positif. 

Dugaan itu boleh mematangkan kita serta memberikan kita kesedaran agar kembali kepada yang Esa. Bukan sekadar dalam kedukaan dan kesedihan malah tika dalam kegembiraan dan kebahagiaan kita perlu mengingati Allah. Bila kita terleka dan lalai, Allah datangkan dugaan dan ujian. Allah sangat rindukan rintihan kita kepadaNya. Hanya Dia yang menentukan segala-galanya. Semua yang berlaku di atas kehendak-Nya. Allah sayangkan hamba-Nya jadi diturunkan dugaan dan ujian agar kita sentiasa mengingati dan menyerahkan segala-galanya kepada-Nya. 

Alhamdulillah , pada bulan lepas ana genap usia ana  22 tahun tetapi apabila mengikut tahun ana berumur 23 tahun..  Syukur alhamdulillah kerana Allah masih mengurniakan kesempatan kepada diri ini untuk memperbaiki diri serta berusaha untuk menjadi insan yang berguna.. Impian ana sungguh tinggi untuk digapai... Namun,sekiranya berusaha dengan bersungguh-sunguh ,Insyaallah Allah akan membantu kita untuk menggapainya. Semoga dengan peningkatan usia ini, ana akan lebih mendekatkan diri kepadaNya dan berusaha menjadi muslimah yang solehah. Ana ingin menjadi seorang anak yang menenangkan hati ibu bapa ana.. Insyaallah.. Semoga dengan peningkatan usia ini juga ana dapat melipat gandakan amalan-amalan yang baik dan mencari mardhatillah.. Semoga Allah meredhai dan memberkati kita semua..

Masa pantas berlalu namun banyak perkara yang belum ana lakukan untuk diri ini serta orang lain... Hari demi hari kian berlalu... Masa kian berjalan ... Tinggal tiga semester untuk ana tempuhi di sini.. Banyak kenangan manis dan pahit yang ana tempuhi di sini. Banyak perkara yang mematangkan ana dan membuat ana yakin dengan sesuatu keputusan yang ana buat... Ana bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk melalui fasa-fasa kehidupan bersama sahabat-sahabat di sini. Jauh dari keluarga bukan bermakna ana terlepas daripada pandangan mereka namun ana harus menjaga kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada ana.. Setelah kecundang beberapa kali, Allah masih mengizinkan ana menjejakkan kaki di sini. Alhamdulillah dan  ana akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sahabat merupakan insan yang paling rapat dengan kita terutama apabila berjauhan dengan keluarga. Sahabat juga adalah cerminan diri kita. Sekiranya kita bersahabat dengan orang yang baik sedikit sebanyak kita akan turut mengikutinya. Carilah sahabat yang boleh membawa kita ke arah kebenaran dan bersama menuju ke syurga. “Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” 
(Hadis riwayat al-Hakim)






  

Pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah SAW) kepada anaknya, 
“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut.”


  • Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan  jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.
  • Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya) .
  • Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukkan dirimu ia suka menutupinya.
  • Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.
  • Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.
Manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan . Sekiranya kita telah membuat salah terhadap seseorang ,kita perlulah meminta maaf dengan segera. Kita tidak tahu jangka hayat kita dan berkemungkinan kembali kepadaNya bila-bila masa sahaja. Sekiranya kita mempunyai salah faham dengan sesiapa sahaja, tidak salah kiranya kita menghulurkan kemaafan walaupun itu bukan salah kita. Demi persahabatan atau perhubungan , tidak salah kita merendahkan diri kita untuk meminta kemaafan. Beralah tidak bererti kalah namun kita adalah juara.. Berjaya melepaskan diri daripada cengkaman perasaan. Kita tidak akan tenang selagi berada dalam situasi yang sebegitu. Memaafkan orang lain dan meminta maaf adalah perilaku yang hebat dan membahagiakan.

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. [4:1]


Rasulullah SAW juga menuntut kita bermaaf-maafan.
“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Taqwa tempatnya disini!Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali.Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim,setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim.Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” [Hadis Riwayat Muslim].

“Yang bernama hebat bukanlah orang yang banyak menjatuhkan lawannya,tetapi orang yang handal dan sejati adalah orang yang sanggup menguasai dirinya ketika marah” [Hadis Riwayat Muslim]


Firman Allah SWT: “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
(Surah Ali-Imran:134)


“Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga keadaan, iaitu tidak dapat diketahui orang pemaaf melainkan ketika dia marah, tidak dapat diketahui orang yang berani kecuali ketika dia berjuang dan tidak dapat dikenal seorang sahabat melainkan ketika kita dalam kesusahan.”
(Luqman Al-Hakim)







 Wassalam w.b.t.

No comments: