~ Bisikan Kasih ~
Wahai Allah,
aku bermohon ya Allah kurniakan aku kekayaan hati,
agar aku redha dan bersabar menempuh segala cubaanMu, agar aku merasa nikmat mengharungi segala dugaan, sesungguhnya Engkau memilih aku untuk menjalani hidup yang begini, kurniakan aku redha hati, di samping menunggu hikmah yang kelak Kau akan bentangkan kepadaku. Di sana nanti aku akan tersenyum dan berbahagia kerana kesabaran dan keredhaanku hari ini...
Wahai Allah,
Padamkan panasnya keburukan pada setiap hal di mataku, dengan dinginnya kebaikan yang ada padanya itu agar aku selamat, adil dan lebih bijaksana kerana setiap luka yang Kau selitkan pasti ada harganya di sisiMu...
Aku sedar ya Allah,
Engkau menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya dua hati yang saling berlawanan. Dua jenis yang saling bertolak belakang, dua kubu yang saling bertentangan, dua pendapat yang sering bertentangan, yang baik dan buruk, kebaikan dan kerosakan, kebahagiaan dan kesedihan, dan seterusnya. Engkau mengumpul semua yang baik, kebagusan, dan kebahagiaan itu di syurga. Adapun segala yang buruk, kerosakan, kesedihan Engkau kumpulkan di neraka.
Wahai Allah,
Titipkan dalam hatiku ini redha untuk menjalani hidup ini dengan kenyataan yang ada janganlah aku hidup dalam khayalan dan jangan hatiku menerawang ke alam fantasi atau mimpi. Kuatkan hatiku untuk menghadapi kehidupan ini dengan apa adanya. kawallah jiwaku untuk dapat menerima dan menghadapinya. Ya...tidak mungkin semua teman tulus kepadaku, tidak mungkin semua perkara sempurna di mataku... setiap yang baharu adalah lemah, akan rosak, dan akan hilang pabila tiba masanya. Nyawaku jua akan dicabut pabila sampai masanya...titipkan syukur dalam hatiku sentiasa sementara ruh menjadi kekasih jasad , sementara ruh belum bercerai dengan jasadnya perbanyakkan amal kebaikan di dunia semoga aku beruntung di sana....
Oleh itu apabila aku sudi merapatkan barisan, menyatukan langkah, saling memaafkan dan berdamai kembali, mengambil hal-hal yang mudah dilakukan, meninggalkan hal-hal yang menyulitkan, menutup mata dari beberapa hal untuk saat-saat tertentu, meluruskan langkah dan mengesampingkan perkara-perkara yang mengganggu. InsyaAllah semoga tenteram dan dan tenang akan kembali ke dalam hatiku dengan menjemput khusyuk dan bahagia berpanjangan dan nikmat berkasih sayang...sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang layak di sembah Tuhan yang maha pemurah..amin.
No comments:
Post a Comment