Saudah binti Zam'ah, beliaulah insan yang menemani Rasulullah SAW di
kamar selepas pemergian kekasih Baginda, Khadijah al-Khuwailid. Meskipun
kedudukan dan ketinggian Khadijah di hati Nabi tak mampu ditandingi
oleh sesiapapun, namun Saudah ternyata bertuah kerana menjadi salah
seorang wanita pilihan Allah SWT untuk meneguk langsung cinta Nabi.
Beliau digambarkan seorang wanita yang tua, uzur dan gemuk ketika
menjadi isteri Nabi. Namun, seunggul, sejelita dan seindah manapun
wanita pada zaman ini tetap tak akan mampu menandingi walau secebis
kemuliaan Saudah sebagai isteri Nabi. Bukankah jelas pernikahan
Rasulullah ini kerana kepentingan agama, bukannya nafsu?!
Mari Berkenalan
Saudah binti Zam'ah bin Qais bin Abdu Syams bin Abdud berasal
daripada suku Quraisy al-Amiriyah. Puteri kepada wanita bernama Syumush
binti Qais bin Zaid bin Amr daripada Bani Najjar.
Pernah bersuamikan Sakran bin Amr, saudara Suhail bin Amr al-Amiri.
Golongan Paling Awal Menyahut Panggilan Fitrah
Ajaran Islam yang cocok dengan kesucian fitrah, kemuliaan akhlak dan
kebersihan hati tidak teragak-agak untuk diterima oleh mereka yang
memiliki kualiti hati yang istimewa. Golongan yang awal memeluk Islam
dimuliakan Allah dengan gelaran as-saabiquunal awwalun. Firman Allah SWT
yang bermaksud:
"Orang-orang
yang awal (masuk Islam) di antara Muhajirin dan Ansar dan orang-orang
yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda dengan mereka dan
merekapun reda kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga
yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar."
(At-Taubah: 100).
(At-Taubah: 100).
Salah seorang daripada mereka ialah suami Saudah, Sakran bin Amr.
Iman yang meresapi segenap jiwanya terasa indah. Beliau lantas memimpin
isteri tercinta, Saudah binti Zam'ah untuk sama-sama hidup di bawah
kemuliaan tauhid.
Menyaksikan Suami Diseksa
Pengaruh Islam semakin tersebar di Makkah. Ajaran Muhamad semakin
berkesan di hati. Mengamuklah orang-orang kafir Quraisy. Golongan
miskin dan lemah diseret dan disiksa tanpa belas kasihan.
Mengalir air mata Saudah tatkala melihat suaminya Sakran disentap,
dipukul dan dibiarkan kelaparan dan kehausan. Namun begitu, imannya
tidak goyah. Dia tetap teguh ingin bersama agama Muhammad SAW.
Seperit mana kesedihan Saudah, perit lagi kesedihan Rasulullah SAW
tatkala melihat umat yang dicintai menerima penyiksaan sezalim itu.
Ketika itu baginda dilindungi oleh pengaruh bapa saudaranya, Abu Talib
dan isterinya yang bangsawan, Khadijah. Islam yang masih dalam fasa
kelemahan ketika itu tidak memampukan baginda untuk bangkit membela
mereka yang teraniaya.
Rasulullah SAW akhirnya menyuruh sahabat-sahabat yang teraniaya agar
berpindah ke Habsyah dan minta perlindungan daripada Raja Najasyi
sehinggalah Allah membebaskan mereka semua daripada penderitaan ini.
Saudah dan suaminya menyahut Sarranan ini. Mereka berlindung di Habsyah
dan meniti hari yang tenang di bawah naungan iman.
Setenang manapun berada di tempat orang, tetap tak seindah berada di
tanah air sendiri, tanah kelahiran seorang Nabi. Begitulah yang
dirasakan oleh orang-orang Islam di Habsyah. Mereka kembali ke Makkah
pada saat dakwah Islam masih hebat ditentang.
Penderitaan Saudah tak tertanggung lagi apabila suaminya dipanggil
pulang menemui Ilahi. Sakran meninggal dunia di Makkah. Saudah memujuk
diri bahawa kasih sayang Allah lebih besar berbanding kasih sayang suami
terhadapnya. Wujudkah pengganti yang lebih baik untuk menempati tempat
Sakran di hati? Saudah bingung sendiri.
Dilamar Lelaki Terbaik di Dunia
Saudah masih berendam air mata kerana ditinggalkan suami. Rasulullah
SAW ketika itu juga dalam kesedihan kerana ditinggalkan isteri, Khadijah
al-Khuwailid. Saudah mengetahui tingginya kedudukan Khadijah buat Nabi
di dunia dan di akhirat.
Setelah pemergian Khadijah, tiada sahabat yang berani mencalonkan
sesiapa untuk Rasulullah kerana mereka percaya tiada wanita sebaik
Khadijah yang layak menemani Nabi. Hadirlah seorang sahabat wanita
bernama Khaulah binti Hakim untuk menyenangkan hati Nabi dengan
berbicara soal pernikahan.
Berkata Khaulah binti Hakim bin Al-Auqash, isteri Uthman bin Mazh'un,
"Wahai Rasulullah, tak nak kahwin lagi ke?"
Rasulullah bertanya semula,
"Dengan siapa?"
"Terpulanglah. Ada gadis dan ada janda," jawab Khaulah.
"Jika gadis, siapa orangnya?" Tanya Rasulullah.
"Puteri orang yang paling engkau cintai, Aisyah binti Abu Bakar,"
jawab Khaulah. Rasulullah teringat akan mimpi-mimpinya yang dibawa oleh
Jibril tentang gadis di balik selendang sutera iaitu Aisyah. Namun,
Aisyah masih lagi seorang anak kecil ketika itu. Apapun, Aisyahlah gadis
pertama yang hadir dalam impian Rasulullah selepas kewafatan Khadijah
kerana diilhamkan sendiri oleh Allah SWT. Tidak hairanlah cinta baginda
kepada Aisyah amat menebal. Yang pertama selalunya istimewa! Apatah lagi
jika yang pertama itu beragama.
"Jika janda, siapa orangnya?" Tanya Rasulullah lagi.
"Saudah binti Zam'ah. Dia telah beriman kepadamu dan mengikut ajaran
agamamu," jawab Khaulah. Rasulullah dapat menyelami betapa deritanya
Saudah dikelilingi tekanan yang menyesakkan iman dan diuji pula dengan
kematian suami. Rasulullah sangat simpati kepadanya. Ada keserasian
dalam bentuk ujian, masing-masing ditinggalkan pendamping tercinta.
"Kalau begitu, pergilah dan sampaikan pinanganku kepada mereka
berdua," kata Rasulullah SAW. (Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma'uz
Zawaaid, no. 15285, "Hadis ini diriwayatkan oleh At-Thabrani. Para
perawinya adalah perawi kitab As-Sahih, kecuali Muhammad bin Amr bin
Alqamah. Ia dinyatakan hasanul hadis.")
Dalam riwayat Ahmad, dinyatakan bahawa Khaulah segera menemui Saudah
dan ayahnya, Zam'ah. Ketika itu, Zam'ah sudah lanjut usia dan tidak
dapat lagi menunaikan haji. Khaulah berkias,
"Kebaikan dan kebahagian seperti apakah ini yang telah Allah anugerahkan kepada kalian?"
Saudah berkerut kehairanan,
"Apa maksudmu?" Tanya Saudah.
Khaulah lantas menyampaikan berita gembira,
"Rasulullah SAW mengirimku untuk menemuimu dan menyampaikan lamarannya kepadamu."
Hati Saudah berbunga-bunga lantas tumpahlah air mata keharuan. Tidak
pernah terbayang baginya untuk mendapat kemuliaan sedemikian rupa.
Ketika usianya sudah agak lanjut dan mempunyai susuk badan yang gemuk
dan tidak menarik, masih ada yang sudi menyuntingnya. Apatah lagi lelaki
itu ialah lelaki paling agung di muka bumi. Sudah tentu lelaki bernama
Muhammad bin Abdullah jauh lebih mulia berbanding Sakran.
Saudah lantas menerima walaupun sedar Rasulullah melamarnya
semata-mata atas dasar kasihan. Setelah menerima restu ayah, datanglah
Rasulullah kepada Saudah, melangsungkan akad nikah dengan mahar
berjumlah 400 dirham. (Rujuk Majma'uz Zawaid, no. 15786).
Cara Saudah Mengikat Hati Suami Terhadapnya
Saudah menjadi wanita pertama yang dinikahi oleh Rasulullah SAW
setelah kewafatan Khadijah. Beliau menjadi satu-satunya isteri yang
menemani hidup Nabi selama tiga tahun sebelum hadirnya Aisyah. Di saat
kita pada hari ini berangan-angan ingin bermimpikan Rasulullah, Saudah
dapat tidur di sisi Nabi dan berbincang-bincang dengannya. Bukankah
Saudah sangat bertuah?
Meskipun Saudah sedar siapalah dirinya berbanding Khadijah namun
beliau sentiasa berusaha keras menjadi isteri yang terbaik buat Nabi.
Beliau menceritakan saat-saat getir menghadapi tekanan-tekanan kaum
musyrikin sehingga memancing simpati Nabi terhadapnya.
Beliau juga menceritakan hari-hari yang dilalui oleh puteri baginda
Ruqayyah bersama suaminya, Ustman bin Affan selama tinggal di Habsyah.
Ketika itu Ruqayyah dan Ustman masih menetap di Habsyah dan Rasulullah
amat rindu kepada mereka. Saudah sedar Rasulullah amat senang mendengar
berita tentang puterinya yang tersayang membuatkan Saudah rajin
bercerita tentangnya.
Hijrah Kedua
Kekejaman musyrikin di Madinah memaksa orang-orang Islam berhijrah ke
Madinah dengan izin Allah SWT. Setelah sebahagian besar sahabat
berhijrah ke Madinah, Rasulullah menyusul hijrah mereka. Kemudian
baginda mengutuskan Zaid bersama pelayannya, Abu Rafi' untuk menjemput
wanita-wanita kesayangan Nabi ikut berhijrah. Bersama dua ekor unta dan
wang 500 dirham, mereka menjemput Fatimah, Ummu Kulthum, Saudah binti
Zam'ah, Ummu Aiman dan Usamah bin Zaid. (At-Tabaqaat, Ibnu Saad, vol.1,
hlm. 237-238).
Saudah menetap di Madinah bersama Nabi SAW. Beliau reda apabila tak
lama kemudian Rasulullah membina rumah tangga dengan Aisyah r.ha.
Beliau tahu ianya kehendak Allah untuk kebaikan umat Islam sejagat.
Aisyah menyukai Saudah sehingga terdapat banyak kisah menarik antara
mereka berdua.
Mengutamakan Aisyah Demi Merebut Simpati Nabi
Saudah sedar, psikologi Aisyah yang masih muda sudah tentu lebih
memerlukan cinta dan kasih suami. Saudah juga tahu Aisyah adalah isteri
yang paling dicintai Nabi setelah Khadijah. Demi menyenangkan hati Nabi,
beliau dengan setulus hati sanggup menghadiahkan hari gilirannya kepada
Aisyah. Lagipun beliau sudah semakin tua dan uzur.
Rasulullah SAW pernah berniat menceraikan Saudah kerana berlaku adil
amatlah payah. Perlukan kerja keras. Namun Saudah takut tidak terpilih
menjadi isteri Nabi di akhirat maka beliaupun merayu,
"Biarkan dinda terus menjadi isterimu. Demi Allah! Dinda tidak akan
menuntut sebagaimana isteri-isterimu yang lain. Namun dinda ingin
dibangkitkan Allah menjadi isterimu kelak di hari kiamat."
Saudah menawarkan lagi bagi menyenangkan hati Rasulullah,
Saudah menawarkan lagi bagi menyenangkan hati Rasulullah,
"Wahai Rasulullah, dinda hendak memberikan hari giliran dinda kepada Aisyah."
Rasulullah lantas menerimanya.
Rasulullah lantas menerimanya.
Aisyah menyanjungi Saudah. Beliau berkata,
"Aku tidak pernah menemui seorang wanita yang lebih kusukai jika diriku menjadi sepertinya selain Saudah binti Zam'ah. Seorang wanita yang kekuatan jiwanya luar biasa."
"Aku tidak pernah menemui seorang wanita yang lebih kusukai jika diriku menjadi sepertinya selain Saudah binti Zam'ah. Seorang wanita yang kekuatan jiwanya luar biasa."
Malah, Aisyah begitu cemburu dengan kesegeraan Saudah dalam melakukan
kebaikan dan ketaatan kepada Allah. Malah Saudah sentiasa berusaha
menunjukkan ketaatannya kepada Allah dan Rasulullah. Selain itu, Saudah
sangat dermawan dan murah hati.
Kenangan Terindah
Pertanyaan Saudah kepada Rasulullah SAW pada suatu hari pernah
mendapat jawapan daripada tujuh petala langit. Ia berkenaan tentang
isteri Rasulullah ingin keluar rumah selama ada keperluan. Hal ini
meninggalkan kenangan terindah buatnya. Masakan tidak, Allah menurunkan
wahyu untuk merungkaikan masalah yang sama hingga hari kiamat.
Aisyah r.a menuturkan, "Saudah binti Zam'ah pernah keluar rumah pada
malam hari. Umar melihatnya dan segera mengenalnya, maka ia berkata,
"Demi Allah! Kau pasti Saudah. Kami sudah mengenalmu." Saudah merasa
tidak sedap hati sehingga dia segera menemui Rasulullah SAW yang saat
itu sedang makan malam di rumahku dan tangannya sedang memegang tulang
yang nyaris habis dagingnya. Tidak lama kemudian, Allah menurunkan wahyu
yang membenarkan tindakan Saudah. Rasulullah SAW berkata, "Allah telah
mengizinkan kalian keluar rumah selama ada keperluan." (Muttafaqun
Alaih).
Alhamdulillah, dengan keringanan ini, maka kita semua para wanita dapat keluar rumah dengan adanya keperluan seperti berkerjaya, menuntut ilmu, membeli keperluan rumah dan sebagainya.
Alhamdulillah, dengan keringanan ini, maka kita semua para wanita dapat keluar rumah dengan adanya keperluan seperti berkerjaya, menuntut ilmu, membeli keperluan rumah dan sebagainya.
Di akhir masa pemerintahan Umar RA, bonda kita Saudah menutup mata untuk selamanya.
No comments:
Post a Comment